KUALA LUMPUR: Pengundi Cina di Johor dilihat 'tawar hati' terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), namun ketiadaan alternatif yang diyakini dijangka menyebabkan sokongan mereka kepada gabungan itu kekal.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, dapatan awal kajian di lapangan mendapati ramai pengundi Cina meluahkan rasa kurang puas hati terhadap pencapaian kerajaan PH.
“Di Johor ini, pada peringkat awal saya bertemu dengan segmen pengundi Tionghua ataupun pengundi Cina, mereka berasa tawar hati dengan pencapaian kerajaan PH,” katanya dalam segmen audio siar The Tiger Show, di sini, pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengundi Cina melihat PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai dua medan yang berbeza.
“Pada mereka, ini sekadar pilihan raya negeri sahaja, ini bukan pilihan raya umum. Suasana PRN dan PRU pada persepsi pengundi Cina adalah berbeza. Pada mereka, PRU itu lebih penting,” katanya.
Menurut Hisommudin, walaupun wujud kekecewaan terhadap PH, sentimen itu tidak diterjemahkan kepada sokongan terhadap parti lain kerana mereka sukar untuk melihat adanya pilihan yang mampu menjadi alternatif.
Beliau menjelaskan, keadaan itu berbeza dengan senario yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini apabila pengundi Cina mempunyai pilihan untuk menghantar mesej kepada PH, sehingga DAP gagal meraih sebarang kerusi.
“Di Sabah, pengundi Cina ketika itu mempunyai persaingan yang sengit antara GRS dan Warisan, pengundi Cina boleh menghantar isyarat kepada Pakatan Harapan terutamanya DAP dengan mengundi Warisan.
“Tetapi di Johor, ketika kami turun, mereka tidak melihat ada parti yang seumpama Warisan untuk mereka bertaruh meletakkan isyarat kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pengundi Cina dijangka terus memberikan sokongan kepada PH, namun dalam keadaan yang kurang bersemangat.
“Akhirnya mereka akur tiada pilihan, tidak ada alternatif, menyebabkan mereka memasuki gelanggang PRN dengan mood yang rendah, hilang keterujaan,” katanya.
Hisommudin turut menjangkakan keadaan itu boleh memberi kesan kepada kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina di Johor.
“Pada unjuran kami, sukar untuk mencapai 68 peratus kelompok Cina keluar mengundi dalam PRN Johor ini seperti semasa pilihan raya yang lalu,” katanya.