Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pendekatan politik harmoni, perdebatan dasar serlah kematangan demokrasi

41645952887_TBPRNJOHOR.jpg
Kerjasama utuh antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Pusat juga menjadi teras penting bagi menjamin kestabilan dan kemaslahatan masyarakat Johor selepas pilihan raya.

KUALA LUMPUR: Keupayaan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri mengetengahkan perdebatan polisi dan manifesto secara progresif kepada rakyat mencerminkan anjakan landskap demokrasi yang matang pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pakar Perang Saraf serta Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata senario politik itu mempamerkan politik harmoni dengan parti-parti bertanding lebih memfokuskan kepada hujah dasar berbanding kempen tradisi berbentuk serangan peribadi.

“Menariknya pada kali ini, tidak banyak isu pembunuhan karakter yang kuat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menjawab secara langsung isu-isu dasar peringkat federal seperti pelarasan gaji penjawat awam yang 12 tahun tidak dinaikkan dan isu subsidi minyak,” katanya semasa bersiaran langsung di BERNAMA Radio sempena PRN Johor 2026, hari ini.

Noor Nirwandy turut memuji kesepakatan politik parti-parti di peringkat Kerajaan Pusat yang diterjemahkan melalui persaingan secara sihat bagi memenangi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Beliau berkata kerjasama utuh antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Pusat itu juga menjadi teras penting bagi menjamin kestabilan dan kemaslahatan masyarakat Johor selepas pilihan raya.

Katanya, formula kesepakatan itu penting untuk diteruskan bagi memelihara kestabilan negara amnya dan Johor khususnya untuk jangka panjang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement