SIMPANG RENGGAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang supaya memberi sokongan kepada calon BN, Chua Jian Boon, pada hari pengundian PRN Johor, Sabtu ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, Chua merupakan calon yang mampu memikul amanah serta melaksanakan tanggungjawab kepada penduduk setempat.
Berucap pada ceramah di Simpang Renggam pada Khamis malam, Onn Hafiz turut mengingatkan pengundi supaya terus mempertahankan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di kawasan itu.
“Saya bangga pada malam ini. Saya lihat Melayu, Cina, India boleh kumpul dalam satu kawasan dengan cukup harmoni.
“Sebab kita semua satu keluarga. Kita Melayu, Cina, India, Orang Asli, kita semua Bangsa Johor.
“Jangan biarkan mana-mana pihak cuba mengganggu-gugat keharmonian bangsa di kawasan kita,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, DUN Layang-Layang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Chua daripada BN, Guna Balakrishnan daripada Pakatan Harapan (PH) dan penyandang kerusi itu, Abdul Mutalip Abd Rahim daripada Perikatan Nasional (PN).
Abdul Mutalip sebelum ini memenangi kerusi DUN Layang-Layang pada PRN Johor 2022 atas tiket BN, sebelum bertanding mempertahankan kerusi berkenaan kali ini bersama PN.