PAGOH: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggunakan rekod pentadbirannya ketika menjadi Menteri Besar Selangor sebagai antara tawaran utama Perikatan Nasional (PN) kepada pengundi Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata calon-calon PN yang diperkenalkan pada malam itu dipilih secara teliti dan diyakini mampu membawa suara rakyat serta mengangkat martabat Bangsa Johor.
"Kita yakin inilah calon-calon berwibawa, berintegriti yang dapat membawa mesej parti dan mengangkat martabat Bangsa Johor dalam PRN akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Calon Perikatan Nasional di sini, pada Khamis.
Azmin turut mendakwa masih terdapat pelbagai masalah asas di Johor termasuk isu bekalan air walaupun negeri itu sering dilabel sebagai maju.
"Di mana majunya Johor? Hampir setiap daerah ada masalah air, ada yang sering catuan air dan gangguan bekalan," katanya.
Dalam ucapannya, beliau membandingkan dasar kebajikan yang pernah dilaksanakan di Selangor ketika pentadbirannya dengan situasi semasa di Johor.
"Saya beri air percuma kepada semua rakyat Selangor tanpa kira latar belakang. Saya belanja RM180 juta setahun untuk beri 20 meter padu air kepada enam juta rakyat Selangor," katanya.
Azmin turut mengimbau skim bantuan kematian dan pelaburan pendidikan anak yang pernah diperkenalkan di Selangor sebagai bukti komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat.
"Masa saya MB Selangor, kalau ada keluarga meninggal dunia saya bagi RM2,500 kepada waris. Hari ini juga saya bagi kepada waris," katanya.
Beliau juga mengkritik pelaksanaan bantuan kebajikan di Johor yang menurutnya memerlukan rakyat beratur panjang untuk mendapatkan bantuan.
"Nak dapat RM200 kena beratur empat jam. Saya kata ambil, itu hak kita. Tapi guna teknologi moden, kalau layak terus masuk akaun," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kerajaan negeri mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi mengurangkan kesesakan dalam agihan Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Antaranya termasuk menambah kaunter perkhidmatan, melanjutkan waktu operasi serta memanjangkan tempoh penyerahan bantuan sehingga 28 Jun.
Azmin berkata PN kini memasuki fasa kedua kempen selepas pengumuman calon dan menegaskan gabungan itu bersedia berdepan sebarang bentuk pertandingan pada hari penamaan calon.
"Satu penjuru kita lawan, dua penjuru pun kita lawan, tiga penjuru pun kita lawan, empat pun lawan, lima pun lawan. Lawan tetap lawan," katanya lagi.
Beliau berkata PN akan terus menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Johor berasaskan pengalaman pentadbiran serta dasar yang menurutnya lebih mesra rakyat.