Skip to main content

Dunia

Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dihukum penjara tujuh tahun atas pertuduhan rasuah

FILE - South Korea's former first lady Kim Keon Hee, wife of impeached former president Yoon Suk Yeol, arrives at a court to attend a hearing to review her arrest warrant requested by special prosecutors, in Seoul, South Korea, on Aug. 12, 2025. (Jung Yeon-je/Pool Photo via AP, File)
Secara keseluruhan, Kim Keon Hee didakwa menerima hadiah bernilai kira-kira 300 juta won dan mahkamah mensabitkannya wanita itu bersalah atas semua pertuduhan. - AP

SEOUL: Mahkamah di Seoul menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun  terhadap bekas Wanita Pertama Kim Keon Hee pada Jumaat  kerana menerima hadiah bernilai tinggi sebagai balasan untuk membantu mendapatkan pelantikan jawatan dan memberi pelbagai kemudahan kepada pihak tertentu, lapor Yonhap.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman itu terhadap Kim, isteri kepada bekas Presiden yang dipecat, Yoon Suk Yeol, selepas beliau didakwa atas pertuduhan menerima rasuah melalui pengantaraan, termasuk menerima barang kemas bernilai lebih 100 juta won (kira-kira AS$64,750) sebagai balasan membantu mendapatkan jawatan dalam kerajaan untuk menantu seorang pengerusi syarikat pembinaan.

Secara keseluruhan, Kim didakwa menerima hadiah bernilai kira-kira 300 juta won dan mahkamah mensabitkannya wanita itu bersalah atas semua pertuduhan.

"Hakikat bahawa tertuduh mengabaikan tanggungjawab sosial sebagai Wanita Pertama dan menjadikan kedudukan itu sebagai alat untuk memenuhi kepentingan peribadi adalah sesuatu yang amat serius," kata hakim yang mempengerusikan kes, Cho Sun-pyo, semasa prosiding yang disiarkan secara langsung.

Kim didakwa pada Disember lepas kerana menerima rantai leher jenama Van Cleef & Arpels dan barang kemas lain daripada seorang pengerusi syarikat pembinaan antara Mac hingga Mei 2022. Beliau juga didakwa menerima hiasan kura-kura emas pada April 2022 daripada Lee Bae-yong sebagai balasan bagi pelantikannya ke jawatan berkenaan, sebuah beg tangan jenama Dior bernilai 5.4 juta won daripada seorang paderi pada tahun yang sama, serta jam tangan Vacheron Constantin daripada seorang ahli perniagaan pada September 2022.

Pada Februari 2023, beliau turut didakwa menerima sebuah lukisan hasil karya pelukis terkenal Lee Ufan daripada seorang bekas pendakwa raya sebagai balasan membantu mendapatkan pencalonan dalam pilihan raya.

Kebanyakan pemberian itu berlaku ketika suaminya memegang jawatan presiden, iaitu dari Mei 2022 sehingga beliau dipecat daripada jawatan pada April 2025.

Hakim berkata Kim cuba mengelakkan tanggungjawab melakukan jenayah dengan memulangkan sebahagian hadiah selepas siasatan dimulakan atau mendakwa yang beliau sendiri membeli barangan itu.

"Ini menunjukkan beliau sedar sepenuhnya yang tindakannya menyalahi undang-undang, namun cuba menyembunyikan perbuatannya," kata hakim itu.

Pasukan pendakwa khas yang diketuai Min Joong-ki, yang sebelum ini menuntut hukuman penjara tujuh tahun enam bulan, mengalu-alukan keputusan mahkamah. Peguam Kim pula memaklumkan bahawa mereka akan mengemukakan rayuan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara setahun yang digantung selama dua tahun terhadap pengerusi syarikat pembinaan berkenaan; hukuman penjara 10 bulan yang digantung selama dua tahun terhadap ahli perniagaan yang menghadiahkan jam tangan itu serta denda lapan juta won terhadap paderi terbabit.

Bekas Wanita Pertama itu sebelum ini turut dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh mahkamah rayuan dalam satu lagi kes rasuah berasingan.

Beliau juga bakal dibicarakan berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes yang melibatkan ahli Gereja Unification yang didakwa dipaksa menyertai Parti Kuasa Rakyat menjelang Pilihan Raya Presiden 2022, dalam usaha mempengaruhi keputusan pemilihan calon presiden parti itu yang akhirnya dimenangi oleh suaminya, Yoon.

-- BERNAMA-YONHAP

 

Must Watch Video

Advertisement