Skip to main content

Malaysia

BUDI Diesel: Kerajaan setuju laksana beberapa penambahbaikan

TUMPAT, 20 Jun -- Stesen minyak di Rantau Panjang di sini kelihatan lengang tanpa kehadiran kenderaan dari negara jiran susulan harga diesel di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter pada 10 Jun lepas ketika tinjauan Bernama hari ini._BERNAMA
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata antara penambahbaikan yang dipersetujui ialah pelaksanaan Program Insentif Pengecualian Sementara Fi Tukar Hak Milik (THM) Kenderaan Diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi memastikan peralihan kepada mekanisme itu berjalan lancar menjelang akses awal yang bermula pada Sabtu (27 Jun) di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara penambahbaikan yang dipersetujui ialah pelaksanaan Program Insentif Pengecualian Sementara Fi Tukar Hak Milik (THM) Kenderaan Diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.

"Pengecualian ini melibatkan fi THM yang pada masa ini boleh mencecah sehingga RM100, bergantung kepada jenis kenderaan dan lokasi pendaftaran," ujar kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Kewangan akan membenarkan pemilik berdaftar kenderaan diesel memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan tersebut, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang akan ditetapkan. 

Mekanisme pemindahan kelayakan itu akan dimaklumkan melalui saluran rasmi BUDI MADANI selepas perincian teknikal dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Jemaah Menteri turut bersetuju memperluaskan BUDI Diesel kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi jenis badan pikap dan jip susulan maklum balas serta rayuan peniaga kecil dan pengguna kenderaan diesel untuk tujuan kerja harian. 

"Pemilik kenderaan dalam kategori ini boleh membuat semakan dan permohonan melalui portal rasmi BUDI MADANI setelah sistem permohonan dikemas kini," menurut kenyataan sama.

Kenyataan juga menyebut bahawa akses awal BUDI Diesel akan bermula esok, (Sabtu, 27 Jun) bagi pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.

"Sepanjang tempoh akses awal ini, diesel bersubsidi boleh dibeli pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

"Pelaksanaan penuh BUDI Diesel akan bermula pada 1 Julai 2026 di seluruh negara dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak," tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi penerima sedia ada BUDI Diesel Individu, bantuan tunai RM400 telah disalurkan pada awal bulan Jun 2026. 

Dengan akses awal ini, penerima yang layak kini juga boleh membeli diesel pada harga bersubsidi melalui pengesahan MyKad.

Pada masa yang sama, lebih ramai pengguna kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini tidak menerima bantuan tunai BUDI Diesel Individu akan mendapat akses kepada diesel bersubsidi melalui BUDI Diesel.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peralihan kepada BUDI Diesel adalah bagi memastikan subsidi diesel sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping menutup ruang ketirisan yang telah merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun.

"Setelah mendengar maklum balas dan rayuan rakyat, Kerajaan MADANI bersetuju melaksanakan penambahbaikan ini bagi melancarkan pelaksanaan BUDI Diesel,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Ahad lalu (21 Jun), kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga diesel di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bertujuan memastikan semua rakyat negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak dapat menikmati manfaat yang sama.

Must Watch Video

Advertisement