KUALA LUMPUR: Datuk Onn Hafiz Ghazi perlu diberikan mandat yang lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang bagi memastikan segala perancangan pembangunan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan dengan lebih lancar dan berkesan.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor itu telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membangunkan negeri serta menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
"Saya percaya dengan mandat yang lebih besar dan lebih padu, apa yang telah diumumkan dan sedang dilaksanakan oleh Menteri Besar akan berjalan dengan lebih lancar.
"Sebab itu pilihan raya negeri kali ini penting untuk kita pastikan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memperoleh mandat yang besar, bukan untuk dirinya atau jawatannya, tetapi demi negeri Johor dan seluruh rakyatnya," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram pada Isnin.
Hishammuddin turut menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Onn Hafiz, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dalam menerajui pentadbiran negeri.
Mengulas lanjut, bekas Naib Presiden UMNO itu berkata jentera BN Johor kini berada dalam keadaan bersedia, bersatu padu dan bersemangat tinggi bagi menghadapi PRN yang disifatkan sebagai medan penting dalam menentukan hala tuju masa depan negeri.
Menurutnya, semangat yang ditunjukkan oleh kepimpinan dan akar umbi parti ketika ini memberi petanda positif terhadap persiapan menghadapi pilihan raya.
"Hari ini tumpuan kita adalah untuk UMNO dan BN Johor. Saya melihat semangat yang cukup luar biasa untuk kita berdepan dengan PRN tidak lama lagi.
"Ini satu petanda yang baik dan saya doakan semangat yang ditunjukkan hari ini dapat diterjemahkan di luar sana sehinggalah ke hari pilihan raya negeri nanti," katanya.
Dalam masa sama, Hishammuddin menyeru seluruh jentera UMNO dan BN Johor agar terus mengekalkan semangat perpaduan serta memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat bagi memastikan kemenangan parti pada PRN akan datang.
DUN Johor telah dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 1 Jun lalu setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pembubaran DUN ke-15 itu membuka laluan kepada PRN Johor ke-16 bagi merebut 56 kerusi DUN.