Skip to main content

Dunia

Iran tamatkan serangan, namun beri amaran keras jika Israel terus serang Lubnan

Smoke billows from southern Lebanon, following Israeli strikes, as seen from Nabatieh, Lebanon, June 8, 2026. REUTERS/Stringer
Iran mengumumkan pada Isnin penamatan serangannya terhadap Israel, sambil memberi amaran bahawa tindak balas yang “menghancurkan” akan dilancarkan sekiranya Israel meneruskan operasinya di Lubnan. - Gambar fail/REUTERS

ISTANBUL/BAITULMUQADDIS: Iran mengumumkan pada Isnin penamatan serangannya terhadap Israel, sambil memberi amaran bahawa tindak balas yang “menghancurkan” akan dilancarkan sekiranya Israel meneruskan operasinya di Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.

“Susulan pencerobohan dan tindakan jahat rejim Zionis yang kejam di selatan Lubnan dan wilayah Dahiya, yang berlaku dengan sokongan Amerika Syarikat, Angkatan Tentera Republik Islam Iran memberikan tindak balas yang menyakitkan terhadap rejim itu bagi menyokong rakyat Lubnan yang tertindas,” menurut Markas Pusat Khatam al-Anbiya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi Tasnim.

Israel dan penyokongnya “sepatutnya mengambil iktibar” daripada tindak balas Tehran itu, tegasnya.

“Atas dasar itu, penamatan operasi ketenteraan oleh angkatan bersenjata diumumkan,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, Iran memberi amaran “jika pencerobohan dan tindakan jahat itu berterusan, termasuk di selatan Lubnan, tindakan yang jauh lebih keras dan menghancurkan akan menyusul.”

Ketegangan memuncak pada Ahad apabila Israel mengebom ibu negara Lubnan, Beirut, walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa. Tindakan itu mendorong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah utara Israel sebagai tindak balas, sebelum Israel membalas dengan beberapa gelombang serangan udara ke atas Iran.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social awal Isnin, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa Israel dan Iran agar menghentikan pertempuran “serta-merta” susulan serangan udara kedua-dua pihak.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement