Skip to main content

Politik

PRN Johor: Kesibukan tugas tidak halang wartawan Astro AWANI tunai tanggungjawab mengundi

Pidot Min PRN. Kredit: Awani
Yasmin (kiri) dan Firdaus (kanan) menunaikan tanggungjawab mengundi di PRN Johor.

JOHOR BAHRU: Hari pengundian Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN 16) menyaksikan pengamal media bertungkus-lumus membuat laporan, namun mereka tidak lupa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Di tengah jadual liputan yang padat, dua wartawan Astro AWANI sempat meluangkan masa ke pusat pengundian bagi memastikan hak demokrasi mereka terus dilaksanakan.

Antara yang mencuri tumpuan ialah wartawan kanan Astro AWANI, Firdaus Azil, 41, yang merupakan anak kelahiran Perak yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

Beliau berkata, ini kesempatan dan peluang terbaik untuk memilih wakil rakyat meskipun pada masa yang sama perlu menggalas tugas melaporkan perkembangan pilihan raya di luar kawasan tugasan asalnya.

“Saya menggunakan peluang ini untuk membawa pengalaman mengundi di PRN Johor kepada penonton Astro AWANI. Sebab itu saya memastikan siaran itu ada sepanjang proses tersebut,” kata Firdaus yang mengundi di Sekolah Rendah Mohd Khir Johari, Kampung Melayu Majidee, Johor Baharu.

Sementara itu, bagi rakan setugasnya, Yasmin Natasha Hairul, 28, kesibukan membuat liputan bukan penghalang untuk beliau hadir ke pusat pengundian bagi DUN Johor Jaya di Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Timur.

Yasmin melaksanakan kewajipannya selepas berada di Muar membuat liputan berita sejak dua minggu lalu.

“Pagi tadi saya melaporkan berita mengenai keselamatan proses pengundian, dan sekarang saya sendiri menjadi sebahagian daripada proses demokrasi tersebut.

“Satu kepuasan apabila kita dapat melaksanakan tugas profesional dan tanggungjawab sivil secara serentak dalam satu hari,” katanya.

PRN Johor ke-16 menyaksikan seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi hari ini dan proses pengundian berlangsung hari ini dengan melibatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Must Watch Video

Advertisement