Skip to main content

Politik

PRN Johor: Kekerapan Anwar turun Johor tanda PH sedang panik - Ketua Penerangan Pas

Astro Awani
Program Grand Finale Perikatan Nasional 2026 PRN Johor berlangsung di Simpang Jeram, malam tadi.

MUAR: Pakatan Harapan (PH) kini didakwa berada dalam keadaan panik menjelang Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) susulan kekerapan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tempoh berkempen.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, perkembangan berkenaan sebagai petanda gabungan berkenaan mula hilang keyakinan terhadap sokongan rakyat.

Tambah beliau, seorang Perdana Menteri lazimnya tidak perlu menghabiskan terlalu banyak masa berkempen di sesebuah negeri sekiranya kedudukan parti berada dalam keadaan selesa.

“Dari pagi sampai petang Perdana Menteri berada di Johor mengadakan pelbagai program kempen. Ini menunjukkan beliau sudah menekan ‘panic button’ kerana merasakan keputusan di Johor tidak memihak kepada Pakatan Harapan.

“PH semakin tertekan selepas beberapa keputusan pilihan raya sebelum ini yang menurutnya menunjukkan trend penurunan sokongan terhadap gabungan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyertai program Grand Finale Perikatan Nasional (PN) PRN Johor 2026, di sini, malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan dan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam masa sama, beliau turut mengaitkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu sebagai bukti rakyat semakin menolak PH, walaupun gabungan itu merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

Tambahnya lagi, Barisan Nasional (BN) didakwa akan mendesak Kerajaan Persekutuan untuk membubarkan Parlimen sekiranya mencatat kemenangan besar di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.

“Sekiranya BN mencatat kemenangan yang selesa di Johor dan Negeri Sembilan, hampir pasti mereka akan memberikan tekanan kepada kerajaan untuk membubarkan Dewan Rakyat dengan segera.

“Kalau Pakatan Harapan mendapat kemenangan yang selesa, PH tidak perlukan apa-apa tekanan, mereka yang akan bubarkan Dewan Rakyat terlebih dahulu kerana mereka rasa selesa,” ujar beliau lagi.

Must Watch Video

Advertisement