Skip to main content

Malaysia

Kebenaran solat Jumaat di Musala IOI City Mall, Putrajaya diberikan sejak 2024 - MAIS

Threads @petchmono
Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musala IOI City Mall, Putrajaya telah diberikan bermula 6 Sept 2024, selepas diputuskan Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) serta mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Gambar hiasan Threads @petchmono

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjelaskan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musala IOI City Mall, Putrajaya telah diberikan bermula 6 Sept 2024, selepas diputuskan Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) serta mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, kelulusan itu diberikan selepas penelitian mendapati premis berkenaan mempunyai ramai pekerja lelaki beragama Islam selain menerima jumlah pengunjung Islam yang tinggi, sekali gus menyebabkan mereka berdepan kesukaran menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

“Masjid yang terdekat dengan premis berkenaan ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang terletak pada jarak lebih kurang 7.6 kilometer dan Masjid UNITEN, Kajang yang terletak pada jarak lebih kurang 7.7 kilometer.

“Di samping itu kedua-dua masjid tersebut juga tidak mampu menampung jumlah ahli jemaah yang ramai ketika mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

MAIS turut menegaskan sekali lagi bahawa kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musala IOI City Mall adalah bersifat sementara, dan akan ditamatkan apabila sebuah masjid baharu berhampiran premis berkenaan siap dibina serta mampu memenuhi keperluan jemaah, termasuk pekerja di kawasan itu. 

Beliau berkata, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di negeri ini dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam. 

Selasa lepas, Salehuddin dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin tidak memberikan perkenan untuk mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu, diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.

Salehuddin berkata, walaupun pada masa ini terdapat satu surau atau musala di pusat beli-belah di Selangor yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat, langkah itu bersifat sementara berikutan tiada masjid yang berdekatan dengan premis berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement