LOS ANGELES: Isu kemampuan memiliki rumah terus membelenggu pembeli di Amerika Syarikat (AS) apabila harga kediaman di negara itu mencecah paras tertinggi dalam sejarah bulan lepas, menurut Persatuan Ejen Hartanah Kebangsaan (NAR) pada Khamis, lapor Xinhua.
Harga median rumah sedia ada meningkat kepada paras tertinggi US$440,600 pada Jun, menurut NAR dalam satu kenyataan.
Harga itu meningkat 1.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, sekali gus menandakan kenaikan harga rumah bulanan bagi tahun ketiga berturut-turut, menurut persatuan industri berkenaan.
“Kemampuan memiliki rumah menunjukkan tanda-tanda peningkatan sejak kebelakangan ini, namun kos mungkin masih menjadi faktor utama yang menyebabkan ramai pembeli teragak-agak untuk memasuki pasaran,” menurut NAR.
Jualan rumah sedia ada, yang merangkumi rumah tunggal, rumah bandar, kondominium dan kediaman koperasi, susut 2.4 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya selepas mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada Mei.
“Turun naik aktiviti jualan rumah dari bulan ke bulan, yang didorong oleh perubahan kecil dalam kadar gadai janji, menunjukkan betapa sensitifnya pembeli rumah terhadap faktor kemampuan.
“Bagaimanapun, pertambahan pekerjaan, iaitu lebih setengah juta sejak awal tahun, akan terus menyokong pasaran perumahan,” kata Ketua Ahli Ekonomi NAR Lawrence Yun.
Penawaran perumahan juga kekal sebagai kekangan utama.
Menurut NAR, inventori perumahan kekal pada paras terendah dalam sejarah, dengan jumlah rumah untuk dijual menyusut 0.6 peratus berbanding Mei dan hanya meningkat 1.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keadaan itu mengehadkan pilihan pembeli dan terus memberi tekanan terhadap harga rumah.
-- BERNAMA-XINHUA