KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines membatalkan dua penerbangan antara Kuala Lumpur dan Taipei pada 11 Julai berikutan keadaan cuaca buruk yang dikaitkan dengan Taufan Bavi.
Dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan penerbangan yang terjejas ialah MH366 dari Kuala Lumpur ke Taipei dan MH367 dari Taipei ke Kuala Lumpur.
"Berikutan keadaan cuaca yang berubah-ubah, syarikat penerbangan sedang memantau perkembangan situasi dengan teliti. Sebarang kemas kini lanjut berkaitan operasi penerbangan akan dimaklumkan terus kepada penumpang terjejas," menurut kenyataan itu.
Malaysia Airlines menasihatkan penumpang supaya memastikan maklumat perhubungan dalam bahagian "My Booking" di laman sesawang atau aplikasi mudah alih syarikat dikemas kini bagi membolehkan penerimaan notifikasi melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Penumpang terjejas boleh memilih bayaran balik atau menukar jadual perjalanan bagi laluan sama tanpa caj tambahan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh asal penerbangan menerusi "My Booking", AskMH Live Chat atau Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines.
Syarikat itu menegaskan aspek keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan dalam membuat keputusan berkaitan operasi penerbangan.
Taufan Bavi diramal bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 15 hingga 20 kilometer sejam sebelum mendarat di kawasan pantai antara Xiapu di Fujian hingga Wenling di Zhejiang pada malam Sabtu, dengan kekuatan taufan dijangka berkurangan selepas pendaratan.
Angin kencang dijangka melanda perairan timur Taiwan, sebahagian besar Laut China Timur serta kawasan pesisir Taiwan, Zhejiang dan Fujian dari petang Jumaat hingga petang Sabtu.
-- BERNAMA