KUALA LUMPUR: Penulis blog Jufazli Shi Ahmad didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO, empat tahun lepas.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Jufazli, 37, selaku Orang kena Saman (OKS) selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Setelah mahkamah menilai dan menimbang keseluruhan pembelaan tertuduh serta keterangan saksi dalam kes ini, OKS (Jufazli) didapati bersalah dan disabitkan sebagaimana dalam pertuduhan. Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara 11 bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.
"Mahkamah mengingatkan kepada OKS supaya tidak mengulangi kesalahan seperti ini. Sekiranya, berlaku kesalahan sama hukuman yang dikenakan pasti akan lebih berat dan boleh termasuk hukuman pemenjaraan," kata Izralizam.
Mengikut pertuduhan, Jufazli didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan memuat naik video itu ke akaun TikTok@King Maker pada 3 petang 23 Jun 2022.
Pautan video berkenaan dibaca dan dilihat pada 3 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 24 Jun tahun sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Izralizam dalam penghakimannya berkata mahkamah telah memberikan pertimbangan bahawa OKS menyatakan lelaki di dalam video (TikTok@King Maker) tersebut tiada kaitan dengannya kerana individu berkenaan tidak memperkenalkan diri sebagai Jufazli Shi Ahmad.
"OKS menyatakan lelaki di dalam video tersebut tidak mempunyai persamaan wajah dengannya kerana beliau mempunyai tahi lalat di atas hidung sebelah kanan. Adalah menjadi pembelaan OKS bahawa beliau tidak pernah memuat naik video tersebut dalam platform akaun TikTok@King Maker.
"Dakwaan ini bertentangan dengan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengesahkan orang yang mengendalikan akaun TikTok@King Maker adalah OKS. Laporan CyberSecurity Malaysia yang berkaitan analisis pemilikan akaun dan wajah, menyatakan OKS sebagai pembuat video tersebut," katanya.
Hakim itu berkata Jufazli juga tidak pernah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam video (TikTok@King Maker) tersebut selain mengambil kira keterangan saksi bahawa kata-kata dalam video tersebut adalah jelek dan tidak sopan terhadap Ismail Sabri yang ketika itu Perdana Menteri.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa perbuatan tersebut merupakan kesalahan serius.
Bagaimanapun, peguam Ramesh N.P. Chandran yang mewakili Jufazli memohon hukuman denda terhadap anak guamnya atas alasan dia menanggung ibu bapanya serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk OKS telah memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula bulan lepas.
Jufazli selesai membayar denda tersebut hari ini.
--BERNAMA