KUALA LUMPUR: Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengirimkan ucapan serta doa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-101 pada Jumaat.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, bekas Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih atas segala ingatan sempena hari bermakna tersebut.
“Assalamualaikum. Saya ingin ucap terima kasih kepada semua yang hantar mesej berkenaan dengan hari kelahiran saya yang ke-101 pada hari ini.
“10 hari bulan (10 Julai), saya meningkat kepada 101 tahun umur dan saya terima banyak kad-kad ucapan ‘happy birthday’, selamat hari jadi dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua,” katanya.
Isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali pula dijadual menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada Sabtu.
Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga lebih 70 tahun itu dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Dr Mahathir yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat serta ketujuh.
Beliau mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat apabila menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun bermula 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.
Pada 10 Mei 2018, beliau kembali menerajui negara sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14, sekali gus mencatat rekod sebagai Perdana Menteri tertua di dunia apabila mengangkat sumpah jawatan pada usia 92 tahun.