WASHINGTON: Lapan lelaki didakwa berhubung dakwaan merancang menyerang acara seni bela diri campuran yang diadakan di Rumah Putih sempena ulang tahun kelahiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menurut Jabatan Kehakiman (DOJ) pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Juri agung persekutuan di Columbus mendakwa mereka atas pertuduhan konspirasi menyediakan sokongan material kepada pengganas, berpakat melakukan pembunuhan di kawasan hartanah kerajaan persekutuan serta konspirasi untuk membunuh seorang pegawai kerajaan persekutuan. Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Menurut DOJ, suspek merancang menggunakan dron yang dipasang bahan letupan di sekitar lokasi acara bagi mencetuskan pemindahan orang ramai sebelum menempatkan penembak tepat untuk menyasarkan individu berprofil tinggi yang sedang meninggalkan lokasi berkenaan.
Pihak berkuasa sebelum ini mengumumkan penahanan tujuh suspek. Suspek kelapan, lelaki berusia 21 tahun yang menurut pihak pendakwaan dirancang berperanan sebagai penembak tepat, ditahan minggu ini di negeri West Virginia.
Acara anjuran Ultimate Fighting Championship (UFC) yang dinamakan "UFC Freedom 250" itu berlangsung pada 14 Jun di arena yang dibina khas di luar South Lawn Rumah Putih dan dihadiri Trump, anggota keluarganya serta beberapa pegawai kanan kabinet.
Walaupun acara itu diadakan bersempena ulang tahun ke-80 kelahiran Trump, ia secara rasminya dianjurkan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS, meskipun Hari Kemerdekaan negara itu disambut pada 4 Julai.
-- BERNAMA-dpa