Skip to main content

Malaysia

PM Anwar ucap selamat ulang tahun ke-101 buat Tun Mahathir

Insta @anwaribrahim_my
Gambar kenangan bersama Dr Mahathir turut dikongsi Anwar dalam hantaran di akaun media sosial beliau sempena hari kelahiran ke-101 bekas Perdana Menteri itu hari ini.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-101 kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar turut mendoakan agar Dr Mahathir terus dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT.

“Semoga Tun terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatan-Nya, Insya-Allah,” kata beliau menerusi catatan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan ucapan selamat kepada Dr Mahathir.

Menerusi satu kenyataan di media sosialnya, beliau mendoakan agar negarawan itu terus dikurniakan kesihatan yang baik serta dipanjangkan usia. 

"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-101 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Semoga Tun terus dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia, serta sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia juga menitipkan ucapan dan doa kepada beliau.

Ucapan berkenaan membanjiri ruangan media sosial dengan rata-rata mendoakan agar Dr Mahathir terus dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia, dilimpahkan rahmat serta dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

Selain ucapan selamat hari lahir, orang ramai turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan dan jasa tokoh yang dikenali sebagai Bapa Pemodenan itu sepanjang menerajui negara.

Mereka berharap Dr Mahathir terus berada dalam lindungan Allah SWT, diberikan kekuatan serta kesejahteraan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga dan masyarakat.

Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah dan pernah menjawat jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali, iaitu selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 serta sekali lagi dari 2018 hingga 2020.

Ketika dilantik semula pada usia 92 tahun, beliau menjadi Perdana Menteri tertua di dunia.

Must Watch Video

Advertisement