KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan penghargaan tinggi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan menyifatkan negarawan itu sebagai individu yang bukan sekadar menyaksikan sejarah, malah membantu membentuk naratif perjalanan Malaysia.
Menerusi hantaran sempena ulang tahun kelahiran Dr Mahathir yang ke 101 hari ini, Syed Saddiq berkata hayat tokoh berkenaan merentasi banyak garis masa negara, bermula dari zaman sebelum merdeka sehingga ke cabaran era moden hari ini.
“Tun lahir sebelum merdeka, membesar di zaman penjajahan dan menyaksikan sendiri lahirnya Malaysia. Beliau bukan sekadar melihat sejarah berlaku, tetapi membantu membentuk sejarah negara ini.
“Tak ramai diberi peluang untuk menyaksikan Malaysia daripada fasa prakemerdekaan, kepada merdeka, pembangunan negara, sehinggalah ke cabaran Malaysia hari ini,” katanya dalam hantaran di laman media sosial beliau hari ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menimba ilmu secara dekat dengan Dr Mahathir sepanjang penglibatannya dalam arena politik.
Berkongsi nasihat paling bermakna yang pernah diterima daripada Dr Mahathir, Syed Saddiq berkata pemimpin veteran itu sering menekankan kepentingan mempunyai 'kekuatan di rumah' atau sistem sokongan keluarga yang kukuh.
"Salah satu nasihat Tun yang saya paling ingat sampai hari ini ialah dalam politik, kena ada kekuatan di rumah. Seseorang yang menunggu, mendengar dan mengingatkan anda mengapa anda bermula pada mulanya.
"Sebab politik ini memang keras, penat dan kadang-kadang sunyi. Apabila keadaan menjadi terlalu bising, anda memerlukan seseorang yang membawa anda kembali kepada apa yang benar-benar penting iaitu berjuang supaya kita dapat tinggalkan Malaysia yang lebih baik untuk generasi seterusnya," jelas beliau.
Dalam hantaran yang sama, Syed Saddiq turut memuji keutuhan jodoh Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali yang disifatkannya sebagai pasangan yang cukup serasi.
"Tun M dan Tun Hasmah, a match made in heaven. Selamat hari lahir, Tun," katanya.
Dr Mahathir, yang dilahirkan pada 10 Julai 1925, merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan ketujuh, serta memegang rekod sebagai individu paling lama memegang jawatan tersebut di Malaysia.