Skip to main content

Malaysia

Operasi Hospital Rompin tidak terjejas susulan perhimpunan kakitangan syarikat bukan konsesi

FB Hospital Rompin
Semalam, tular rakaman memaparkan perhimpunan pekerja pembersihan dan penyelengaraan sebuah syarikat di Hospital Rompin, yang menuntut penjelasan berhubung dakwaan potongan gaji caruman KWSP dan Perkseo didakwa tidak disalurkan. - Gambar hiasan

KUANTAN: Operasi Hospital Rompin dan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit tidak terjejas susulan rakaman tular membabitkan perhimpunan pekerja syarikat bukan konsesi di hospital berkenaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi dan perkembangan berkaitan perkara ini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. 

JKNP turut memaklumkan sebanyak 24 pekerja terdiri daripada petugas pembersihan dan penyelenggaraan kawasan terlibat dalam perhimpunan itu.

“Isu dibangkitkan oleh mereka telah diselesaikan selepas pihak syarikat membuat pembayaran gaji kepada pekerja terbabit pada 12 tengah hari semalam,” menurut JKNP. 

Semalam, tular dalam media sosial rakaman memaparkan perhimpunan pekerja pembersihan dan penyelengaraan sebuah syarikat di Hospital Rompin, yang menuntut penjelasan berhubung dakwaan potongan gaji caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial didakwa tidak disalurkan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement