KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal menghimpunkan penggiat teater serta anak seni dari lima negara Nusantara menerusi penganjuran Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Julai ini di Kampus ASWARA, Kuala Lumpur.
Festival anjuran Fakulti Teater ASWARA itu dijangka menjadi platform pertukaran budaya dan kreativiti yang menghimpunkan tokoh serta penggiat seni persembahan serantau dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama seni di rantau ini.
Mengangkat tema “Tanda. Temu. Tamu”, festival berkenaan memberi penekanan kepada interaksi budaya, perkongsian ilmu serta apresiasi terhadap seni teater kontemporari menerusi pelbagai program yang disusun sepanjang penganjurannya.
Timbalan Naib Canselor ASWARA, dalam kenyataan memaklumkan, FTA 2026 turut membuka ruang kepada pengunjung untuk mendekati keunikan budaya serantau, selain menyaksikan penerapan estetika moden dan kreativiti pengkarya teater dari pelbagai latar belakang.
Majlis perasmian festival itu dijadual disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot di Dewan Orkestra ASWARA pada Khamis depan.
Sepanjang empat hari penganjuran, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam.
Antara pengisian utama termasuk bengkel teater yang dikendalikan seniman serantau, sesi Work in Progress yang menampilkan proses pembangunan karya baharu, serta Kedai Cerita Runcit, sebuah siri monodrama berkonsepkan site-specific theatre yang menawarkan pengalaman pementasan bukan konvensional kepada penonton.
Festival itu turut menampilkan program Showcase, yang menghimpunkan persembahan teater kontemporari berskala besar oleh kumpulan dan artis jemputan dari dalam serta luar negara.
Menurut ASWARA, penganjuran festival tersebut mencerminkan komitmen institusi itu dalam memperkasa pendidikan seni budaya dan menggerakkan pembangunan industri kreatif negara ke arah yang lebih progresif serta berdaya saing.
Penganjurannya juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi pengembangan sektor pelancongan budaya.
Semua aktiviti FTA 2026 ditawarkan secara percuma kepada pengunjung kecuali program Showcase yang mengenakan tiket masuk berharga RM10. Orang ramai yang berminat disaran membuat tempahan awal menerusi platform dalam talian bagi mengelakkan kesesakan berikutan kapasiti ruang yang terhad.
Dek: Festival empat hari di Kampus ASWARA tampil dengan tema “Tanda. Temu. Tamu”, tonjol kolaborasi seni dan budaya serantau.