KUALA LUMPUR: Kempen yang digerakkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat gagal menyentuh sentimen serta keutamaan pengundi tempatan, sekali gus antara faktor yang menjejaskan keberkesanan naratif gabungan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari, berkata pendekatan kempen yang digunakan tidak mencerminkan kefahaman terhadap realiti politik dan kehendak pengundi di Johor.
"PH sendiri dalam sidang media mengakui isu di peringkat negeri dan persekutuan adalah berbeza.
“Namun cara mereka berkempen tempoh hari tidak mencerminkan kesedaran itu. Contohnya Datuk Seri Anwar selaku Perdana Menteri menjadi muka hadapan PH.
"Beliau kerap turun ke Johor berkempen, tetapi isu-isu dibawanya mungkin tidak dekat dengan rakyat Johor kerana kerap menonjolkan topik nasional,” katanya dalam Buletin AWANI Khas, di sini, pada Sabtu.
Aira turut berpandangan, beberapa kenyataan yang disampaikan ketika ceramah tidak sesuai dijadikan mesej kempen kerana boleh memberikan tanggapan negatif kepada pengundi.
Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi PH yang menyebut beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sama ada menang atau kalah dalam PRN, yang menurutnya boleh disalah tafsir oleh pengundi.
“Ada satu ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, menang ataupun kalah beliau tetap akan menjadi Perdana Menteri. Saya rasa ini komen yang tak sepatutnya dibuat kerana kita kena hormati penonton dan pengundi,” katanya.
Tambah beliau, kenyataan sedemikian boleh menimbulkan persepsi bahawa sokongan pengundi diambil mudah.
Mengulas strategi PH di kerusi Puteri Wangsa, Aira berkata usaha menonjolkan calon seperti Dr. Maszlee Malik juga tidak memperlihatkan impak yang diharapkan.
“Dr. Maszlee Malik dikatakan sebagai calon ‘putera besar’ dan sebagainya, tetapi strategi untuk meletakkan beliau di hadapan itu pun kita tak nampak.
“Kempen di Puteri Wangsa juga mungkin tak nampak begitu dekat dengan rakyat di Johor. Jadi saya fikir inilah core problem kempen Pakatan Harapan kali ini,” katanya.
Setakat jam 10:45 malam, PH secara rasmi hanya memperoleh enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Barisan Nasional pula ketika ini secara rasmi menguasai 38 kerusi DUN.