MERSING: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengimbau kenangan berkempen bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Katanya, lokasi beliau berucap hari ini di Restoran Nusantara Ikan Bakar Endau menyimpan kenangan tersendiri kerana pernah menjadi pentas menyampaikan ucapan bersama Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
Ahmad Zahid turut menyifatkan lokasi berkenaan sebagai antara aura yang melonjakkan gelombang kemenangan kepada BN pada ketika itu.
“Empat tahun sudah saya dengan Bossku (Najib) berkempen di sini. Empat tahun sudah… tempat ini adalah tempat kemenangan calon-calon Barisan Nasional,” katanya dalam program bersama masyarakat bagi membantu kempen calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib dan DUN Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga menyeru seluruh jentera BN di Mersing mengetepikan sebarang perbezaan dan memperkukuh gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu pada PRN Johor kali ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap calon BN di DUN Endau, Alwiyah Talib dan DUN Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof.
“Saya akan pastikan seluruh jentera UMNO Bahagian Mersing memberikan sokongan kepada Kak Awi (Alwiyah) dan Youzaimi,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyifatkan Alwiyah sebagai pemimpin yang mempunyai ‘jiwa UMNO yang kental’ dan yakin beliau mampu memberikan khidmat yang lebih baik sekiranya diberi mandat sekali lagi.
Alwiyah Talib berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Saiful Nizam Samat, calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Jati awang dan calon Perikatan Nasional (PN), Hasnul Hakimi Hussin.
Mohd Youzaimi di Tenggaroh pula menentang calon PH, Md Yusof Dawam dan calon PN, Muhamad Ameerul Muhamad.