SAN DIEGO: Sekumpulan jurutera dan pakar bedah dari University of California San Diego (UCSD) mencipta sejarah dunia apabila berjaya menggunakan robot humanoid dikawal jarak jauh untuk melakukan pembedahan buat pertama kali.
Pencapaian luar biasa dalam fasa ujian klinikal itu memperlihatkan pelaksanaan dua prosedur berbeza, termasuk kejayaan operasi membuang pundi hempedu yang dijalankan ke atas mamalia bukan primat.
Dalam prosedur pertama, sebuah robot humanoid berfungsi sebagai pakar bedah utama dengan dibantu oleh seorang pakar bedah manusia.
Manakala bagi pembedahan kedua, dua buah robot humanoid diletakkan bergandingan bagi menyelesaikan prosedur laparoskopi secara berkembar tanpa penglibatan fizikal manusia pada organ sasaran.
Robot seberat 27 kilogram (kg) dengan ketinggian 1.5 meter yang diberi nama timangan "Surgie" itu dilengkapi penyesuai khas bagi membolehkannya memegang serta mengendalikan peralatan bedah standard hospital sedia ada.
Salah seorang penulis kanan kajian, Dr. Shanglei Liu yang mengawal pergerakan Surgie menjelaskan bahawa sistem kawalan robot berasaskan bentuk fizikal manusia terasa jauh lebih intuitif berbanding platform robotik komersial sedia ada.
Tambah beliau, reka bentuk Surgie yang kompak amat menjimatkan ruang bilik bedah dan hanya membabitkan sebahagian kecil daripada kos sistem robotik statik konvensional seperti sistem da Vinci yang mencecah berat ratusan kilogram.
Kajian komprehensif yang diterbitkan dalam jurnal sains Nature itu menyasarkan robot terbabit untuk ditempatkan di kawasan luar bandar, zon bencana, medan perang, malah misi angkasa lepas pada masa hadapan.
Langkah seterusnya bagi projek ini adalah mengurangkan isu lengahan masa (latency) komunikasi rangkaian serta menyepadukan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan robot berkenaan bertindak secara autonomi sepenuhnya kelak.