CARDIFF: Pemimpin politik dan personaliti industri hiburan antarabangsa mula membanjiri media sosial bagi memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi legenda Wales, Bonnie Tyler, yang disifatkan sebagai ikon sejati dunia muzik.
Ia susulan pemergian mengejut penyanyi yang terkenal menerusi lagu balada ikonik era 1980-an "Total Eclipse of the Heart" pada usia 75 tahun di sebuah hospital di Portugal malam tadi.
Menteri Pertama Wales, Rhun ap Iorwerth, mengetuai senarai penghormatan dengan menyatakan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian bintang berkenaan.
Beliau berkata Wales telah kehilangan seorang ikon sejati yang muziknya membawa kegembiraan kepada begitu ramai peminat, selain merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat Tyler di seluruh dunia menerusi hantaran di platform X.
"I am deeply saddened to hear of the passing of Bonnie Tyler.
Wales has lost a true icon, whose music brought joy to so many.
I extend my heartfelt condolences to her family, friends and fans across the world."
- Prif Weinidog https://t.co/OvN5Ekalst— Prif Weinidog 🏴 (@PrifWeinidog) July 9, 2026
Turut memberikan penghormatan ialah Setiausaha Negara bagi Wales, Jo Stevens, yang menyifatkan Tyler sebagai ikon muzik Wales yang pernah menerima pencalonan Anugerah Grammy dan Anugerah Brit, selain menjadi antara artis yang mewarnai zaman remajanya.
So sad to hear of the death of @BonnieTOfficial A Welsh music icon, Grammy and Brit award winner and the sound of my teenage years.
— Jo Stevens (@JoStevensLabour) July 9, 2026
Sementara itu, personaliti penyiaran terkenal United Kingdom (UK), Carol Vorderman, menerusi perkongsian di Instagram meluahkan rasa hiba dan mengimbas kembali keperibadian Tyler yang sentiasa ceria, gemar bergurau dan sangat mengutamakan keluarganya.
Beliau berkata Tyler dianggap sebagai legenda muzik Wales yang luar biasa dan sentiasa merendah diri.
Rakan karib keluarga yang juga penyampai radio BBC, Owen Money, turut meluahkan rasa tidak percaya dengan berita ini sambil mengimbas kembali kenangannya mengenali Tyler sejak akhir 1960-an ketika penyanyi itu memulakan kerjaya muziknya di Swansea.
Dilahirkan dengan nama Gaynor Hopkins pada 1951, Tyler meraih kemasyhuran antarabangsa menerusi suara seraknya yang tersendiri, sekali gus melonjakkan populariti lagu hit seperti "Holding Out for a Hero" dan "It's a Heartache".
Pihak pengurusan mendiang turut memohon agar privasi keluarga dihormati sepanjang tempoh berkabung sebelum sebarang kenyataan lanjut mengenai urusan pengebumian diumumkan.