ISTANBUL: Bahrain mengaktifkan siren serangan udara buat kali ketiga pada Khamis susulan kemungkinan serangan udara oleh Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menggesa warga negara dan penduduk supaya bertenang serta segera menuju ke tempat selamat yang berhampiran.
Terdahulu pada Khamis, Pasukan Pertahanan Bahrain memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan beberapa ancaman udara dari Iran.
Amaran terbaharu itu menyusul ketika serangan ketenteraan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak buat hari kedua berturut-turut.
Media rasmi Iran pada awal Khamis melaporkan bahawa Tehran telah menyasarkan infrastruktur ketenteraan AS di Bahrain, Kuwait, dan Qatar menggunakan dron, manakala pihak berkuasa Bahrain berulang kali mengaktifkan siren amaran dan mengumumkan pemintasan ancaman udara berkenaan.
Sementara itu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) menyatakan bahawa tentera Amerika telah melancarkan serangan tambahan terhadap Iran bagi melemahkan lagi keupayaan Tehran daripada terus mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Iran dan AS sebelum ini telah memeterai memorandum persefahaman yang diusahakan oleh Pakistan pada 17 Jun lepas, bertujuan menamatkan konflik ketenteraan kedua-dua negara serta membuka jalan kepada perjanjian damai yang berkekalan.
Bagaimanapun pada Rabu, Presiden AS Donald Trump mengisytiharkan bahawa memorandum berkenaan "sudah berakhir," sekali gus membatalkan perjanjian itu dan mencetuskan pusingan baharu konfrontasi ketenteraan.
-- BERNAMA-ANADOLU