Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon PH Danish Rahman paling muda, calon PN di Stulang tertua

 calon muda, tua, PRN Johor
Danish Rahman diumumkan sebagai calon termuda manakala Lim Chin Eng merupakan calon tertua yang bertanding pada PRN kali ini.

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH), Danish Rahman diumumkan sebagai calon termuda yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.

Anak jati Pontian itu dipertaruhkan PH untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama yang sebelum ini disandang Norlizah Noh daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata Lim Chin Eng daripada Perikatan Nasional (PN) pula merupakan calon tertua yang bertanding pada PRN kali ini di kerusi DUN Stulang.

Pada PRN Johor ke-15, Norlizah mempertahankan kerusi DUN Johor Lama dengan majoriti 6,039 undi dalam pertandingan empat penjuru, manakala DUN Stulang dimenangi Chen Kah Eng daripada PH dengan majoriti 2,866 undi.

Sementara itu, Ramlan berkata calon berusia antara 40 hingga 49 tahun merupakan kumpulan terbesar pada PRN Johor kali ini, iaitu seramai 50 orang.

Beliau berkata jumlah itu diikuti calon berusia 50 hingga 59 tahun seramai 48 orang, 30 hingga 39 tahun (38 orang), 60 tahun ke atas (27 orang) dan 21 hingga 29 tahun (sembilan orang).

Dalam perkembangan sama, Ramlan menambah SPR menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau semua aktiviti kempen calon yang akan berlangsung sehingga 11.59 malam, 10 Julai.

Terdahulu, Ramlan mengesahkan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, 138 merupakan calon lelaki manakala 34 lagi calon wanita.

SPR menetapkan 7 Julai sebagai hari pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.

Seramai 2,727,926 pengundi layak mengundi pada PRN Johor kali ini, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.


 

Must Watch Video

Advertisement