MERSING: Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di SK Sawah Dato' pagi ini.
Beliau yang mengenakan sepasang baju kurung berwarna biru tiba sekitar jam 8.15 pagi diringi suami dan anak-anaknya.
Alwiyah dan keluarga meninggalkan pusat mengundi berkenaan pada jam 8.30 pagi selepas kesemua mereka selesai membuang undi.
SK Sawah Dato' merupakan salah satu pusat mengundi bagi DUN Endau yang menyediakan lima saluran mengundi termasuk untuk golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Terdahulu, tinjauan mendapati pusat mengundi berkenaan mula dibuka tepat jam 8 pagi dan proses pengundian berjalan dengan lancar.
Ini termasuk persiapan daripada petugas-petugas terlibat yang mula berada di pusat mengundi itu sejak awal pagi.
Rata-rata pengundi yang ditemui kelihatan mula hadir sejak awal pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Difahamkan, beberapa pusat mengundi lain turut menjadi tumpuan membabitkan calon lain yang turut menunaikan tanggungjawab.
Endau antara tumpuan kerusi kontroversi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berikutan kedudukan Alwiyah yang memutuskan ingin kembali bersama UMNO.
Pada PRN Johor 2022, Alwiyah yang mewakili Perikatan Nasional (PN), berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau dengan majoriti 3,041 undi dalam saingan lima penjuru.
Saingan kali ini menyaksikan Alwiyah berdepan dengan tiga pencabarnya terdiri daripada Saiful Nizam Samat daripada Pakatan Harapan (PH), Hasnul Hakimi Hussien yang mewakili PN, dan Jati Awang daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).
Untuk rekod, statistik data pengundi terkini bagi DUN Endau mencatatkan jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di kawasan berkenaan adalah seramai 28,767 orang.