Skip to main content

Politik

PRN Johor: Bersatu Bahagian Tenggara dibubar, kira-kira 40 pemimpin keluar parti

PRN Johor, Bersatu Tenggara. Gambar Astro AWANI
Menurut Aidil (tengah), keputusan berkenaan bukan dibuat kerana emosi, tekanan atau kepentingan peribadi, sebaliknya berpunca daripada rasa kecewa yang berpanjangan terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri. - Astro AWANI/Nasruddin Samad

KOTA TINGGI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tenggara dibubarkan berkuat kuasa serta-merta susulan peletakan jawatan dan pengumuman keluar parti oleh kira-kira 40 pemimpinnya pada Jumaat.

Keputusan itu melibatkan Pemangku Ketua Bahagian Tenggara, Aidil Ahmad, Ahli Jawatankuasa Bahagian, kepimpinan sayap serta Ahli Jawatankuasa sayap yang mengumumkan peletakan jawatan masing-masing.

Aidil berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas melalui pelbagai pertimbangan, perbincangan dan penelitian yang mendalam.

Menurutnya, keputusan berkenaan bukan dibuat kerana emosi, tekanan atau kepentingan peribadi, sebaliknya berpunca daripada rasa kecewa yang berpanjangan terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri.

“Keputusan ini bukan dibuat kerana emosi, tekanan atau kepentingan peribadi. Sebaliknya, ia adalah kemuncak kepada rasa kecewa yang berpanjangan terhadap kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat dan negeri yang pada pandangan kami, semakin gagal mendengar suara akar umbi, menghayati semangat perjuangan parti serta memenuhi harapan ahli-ahli yang telah sekian lama memberikan komitmen dan pengorbanan,” katanya dalam satu sidang media khas, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pendirian bahawa maruah, prinsip dan integriti perjuangan tidak boleh dikompromi.

“Oleh itu, kami memilih untuk berundur secara terhormat daripada terus berada dalam sebuah organisasi yang tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan yang kami yakini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Bersatu Bahagian Tenggara, Abu Bakar Ahmad memaklumkan dua cawangan di bawah bahagian itu, iaitu Cawangan Jalan Kota Tinggi dan Cawangan Kota Tinggi Selatan, mengumumkan sokongan kepada Parti Wawasan Negara.

Aidil turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli, penyokong dan jentera Bahagian Tenggara atas komitmen serta pengorbanan mereka sepanjang bersama parti, selain berharap semua pihak menghormati keputusan yang dibuat.

Must Watch Video

Advertisement