KOTA TINGGI: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas proses penamaan calon selesai, hari ini.
Penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN), Muszaide Makmor akan dicabar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tiga penggal di kawasan sama, Rasman Ithnain yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pengurus Pilihan Raya N.36 Sedili, Nurul Ashikin A. Jabar turut mengesahkan seorang lagi calon yang bertanding ialah wakil Pakatan Harapan (PH), Amirul Huzni Onn.
Pertembungan itu mencuri perhatian apabila Rasman kembali bertanding untuk merampas semula kerusi yang pernah diwakilinya selama tiga penggal berturut-turut bermula pada 2008 atas tiket UMNO sebelum menyertai Bersatu pada 2018.
Dalam PRN Johor yang lalu pada 2022, Muszaide menewaskan tiga pencabarnya apabila meraih 12,063 undi iaitu majoriti 5,679 undi atau 29.9 peratus.
Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas (PN) menjadi pencabar terdekat apabila meraih 6,384 undi, diikuti Tariq Ismail Mustafa (Pejuang) dengan 211 undi dan Mat Khairi Samsudin (Pakatan Harapan) dengan 333 undi.
DUN Sedili secara tradisinya dianggap antara kubu kuat BN di Johor, namun kembalinya Rasman ke gelanggang politik di kawasan itu menjadikan pertandingan kali ini bukan sekadar persaingan antara tiga parti, malah turut menguji sama ada pengaruh bekas ADUN tiga penggal itu masih kekal dalam kalangan pengundi.