Skip to main content

Politik

PRN Johor: Astro AWANI, ‘The Tiger Show Podcast’ berganding bahu, lapor langsung media sosial

TB_JOHOR MEMILIH TIGER PODCAST_AWANI
Kerjasama ini menghimpunkan kekuatan kedua-dua platform dalam menyampaikan perkembangan terkini, analisis politik serta perbincangan interaktif. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Astro AWANI dan rakan kerjasama strategik media ‘The Tiger Show Podcast’ akan membawakan liputan khas keputusan pilihan raya secara langsung menerusi platform media sosial bermula jam 3 petang pada hari pengundian, 11 Julai.

Kerjasama ini menghimpunkan kekuatan kedua-dua platform dalam menyampaikan perkembangan terkini, analisis politik serta perbincangan interaktif kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perjalanan PRN Johor di platform digital.

Program ini akan dikendalikan oleh wartawan dan penyampai Astro AWANI, Irfan Faruqi, bersama pengasas bersama dan hos ‘The Tiger Show Podcast’, Amin Iskandar, yang akan membawakan perkembangan terkini dari masa ke masa.

Ia memberi tumpuan kepada perkembangan sepanjang hari pengundian, termasuk peratusan keluar mengundi, isu-isu yang menjadi perhatian pengundi serta analisis awal berdasarkan trend dan sentimen semasa.

Menjelang penutupan pusat pengundian, perbincangan akan memberi tumpuan kepada keputusan tidak rasmi yang mula diperoleh daripada pelbagai sumber di lapangan, di samping kupasan mengenai kemungkinan corak keputusan dan unjuran awal.

Kolaborasi ini juga bertujuan memperluaskan akses maklumat pilihan raya, pantas dan mudah difahami, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial yang menjadikan platform digital sebagai sumber utama mendapatkan berita dan analisis politik.

Orang ramai boleh mengikuti liputan khas ini secara langsung menerusi saluran media sosial Astro AWANI dan ‘The Tiger Show Podcast’ bermula jam 3 petang esok.

Dengan gabungan pengalaman kewartawanan Astro AWANI dan pendekatan perbincangan digital yang dekat dengan audiens oleh ‘The Tiger Show Podcast’, liputan khas ini dijangka menjadi antara platform utama untuk rakyat mengikuti perkembangan PRN Johor secara menyeluruh dan interaktif.

Must Watch Video

Advertisement