Skip to main content

Politik

PRN Johor: Ahmad Zahid komited terus bantu Johor selagi berada di Putrajaya

JOHOR BAHRU, 3 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor, di Flat Perumahan Larkin Court 1 hari ini.Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon N44 Larkin Mohd Hairi Mad Shah._BERNAMA
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor, di Flat Perumahan Larkin Court 1 hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan terus membantu Johor selagi beliau berada dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Beliau berkata komitmen berkenaan bukan sekadar janji politik, sebaliknya diterjemahkan menerusi kerjasama yang telah lama terjalin antara beliau dengan Kerajaan Negeri Johor dalam pelbagai aspek pembangunan.

"Teruskan membantu Datuk Onn Hafiz. Insya-Allah selagi saya berada di Putrajaya saya akan bantu Negeri Johor ini, bukan janji politik, saya tak janji pun saya buat," katanya ketika berucap pada program di Tabika KEMAS Bangsa Johor, Larkin Court, di sini pada Jumaat.

Dalam ucapannya, Zahid turut memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkannya sebagai komited, berdedikasi dan mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan pelbagai transformasi di negeri itu.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri telah meletakkan Johor pada kedudukan yang baik sama ada dalam aspek pembangunan modal insan, pendidikan mahupun pelaburan.

Malah, Zahid mengakui beliau berasa "cemburu" terhadap pencapaian negeri itu yang dilihat semakin ke hadapan berbanding negeri-negeri lain.

"Saya sebagai anak Perak, saya jealous, saya cemburu dengan Johor. Tapi nak buat macam mana? Saya terpaksa dan mesti mengakui bahawa Johor ini jauh lebih ke hadapan," katanya lagi.

Beliau berkata keyakinan pelabur terhadap Johor terus meningkat hasil kestabilan pentadbiran serta pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Pada masa sama, Zahid berkata beliau sentiasa memberi perhatian kepada keperluan Johor termasuk ketika negeri itu berdepan bencana banjir.

Katanya, beliau merupakan antara pemimpin Persekutuan yang kerap turun padang bagi melihat sendiri situasi yang berlaku tanpa perlu menunggu permintaan rasmi daripada kerajaan negeri.

"Bila berlaku banjir di Johor, saya orang pertama daripada Putrajaya turun ke Johor. Tak payah telefon. Tak telefon pun saya turun," katanya.

Zahid berkata beliau akan terus memberikan sokongan kepada usaha pembangunan Johor dan berharap segala perancangan yang dirangka kerajaan negeri dapat diteruskan demi manfaat rakyat serta kemajuan negeri berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement