Skip to main content

Politik

Peletakan jawatan beberapa Ahli MPT Bersatu akan diselesaikan secara dalaman - Muhyiddin

MUAR, 11 Julai -- TANGGUNGJAWAB…Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media selepas mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Maharani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung perkara itu sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil. - Gambar/ Bernama

MUAR: Isu peletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah akan diteliti dan diselesaikan secara dalaman.

Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung perkara itu sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil.

"Tak apa, soal itu saya tidak ikut. Dia letak jawatan sebagai Ahli MPT, tetapi dia masih ahli Bersatu. Jadi saya akan dapatkan laporan lengkap mengenai kedudukan sebenar.

"Soal-soal seperti ini, dalam parti saya tidak akan bincang banyak di luar," katanya selepas selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu.

Ditanya sama ada Bersatu akan terus kekal kukuh meskipun berdepan perkembangan itu, Muhyiddin ringkas menjawab "insya-Allah".

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan Abu Bakar melepaskan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.

Selain Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli MPT pada minggu lalu.

Pada Jumaat, seorang lagi Ahli MPT Bersatu, Aziman Hadi Nazri mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta selain melepaskan jawatan sebagai Exco Armada Nasional.

Pada hari sama, Ketua Bersatu Bahagian Bukit Bintang, Rosman Mohd Nordin bersama barisan kepimpinan bahagian dan kira-kira 150 ahli menamatkan keahlian dalam parti. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement