KUALA LUMPUR: Jenama Perikatan Nasional (PN) akan menjadi rebutan antara dua parti terasnya iaitu Pas dan Bersatu.
Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Yusri Ibrahim berkata dalam senario semasa, Pas tidak akan melepaskan gabungan itu, pada masa yang sama Bersatu juga tidak akan keluar dengan mudah.
“Saya jangkakan Bersatu tidak akan meninggalkan PN dengan mudah. Jenama PN sinonim dengan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka akan cuba untuk pastikan mereka dapat pimpin semula PN atau apa juga tindakan sekali pun. Atau tidak ia akan jadi kehilangan besar kepada Bersatu.
“Pada masa sama, Pas juga akan cuba pertahankan PN kerana ia jenama yang agak moderat untuk mereka meluaskan empayar kuasa. Tanpa PN, Pas tidak ada gabungan terkini untuk luaskan pengaruh dalam landskap politik Malaysia,” kata Ketua Penyelidik Ilham Centre itu.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Dalam temu bual sama, Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia UNSDSN, Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat pula berkata, Pas perlu mengekalkan jenama PN kerana tempoh yang singkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dan gabungan dengan jenama baharu sukar mendapat sokongan pengundi.
“Sebarang gabungan baharu itu mungkin tidak dapat didaftarkan. Sekalipun dapat didaftarkan, penjenamaannya mungkin tidak berjaya. Kita akan lihat Pas akan bersama dengan kumpulan Reset, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sama ada menggunakan logo parti baharu atau mereka menggunakan logo Pas sahaja.
“Itu kerugian kepada Pas. Jika guna logo baharu, mereka tidak akan dikenali. Jika guna logo Pas, maka mereka tidak ada nilai tambah. Pas cuba untuk tonjolkan imej berbeza daripada imej asal,” jelasnya.
Untuk konteks, pada Isnin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua pihak
Berikutan keputusan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa parti itu, sebagai parti pengasas PN akan terus kekal dalam gabungan berkenaan dan memperkukuh teras perjuangannya.
Agenda AWANI: Konflik Dalaman Perikatan Nasional