Skip to main content

Politik

Parti Rafizi 'pemangkin' kerjasama BN-Pas untuk PRU16 - Penganalisis

Sumber: Astro AWANI
Dr. Azizi berkata, mengambil situasi PRN Johor, keputusan untuk meletakkan calon di beberapa kerusi DUN, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar seperti Johor Bahru, Tebrau dan Iskandar Puteri, dijangka memberi kesan besar terhadap pola pengundian. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyasarkan pengundi Pakatan Harapan (PH) yang marah dengan kerajaan MADANI untuk mengundi Parti Bersama disifatkan menjadi pemangkin kepada kecenderungan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Penganalisis Muda Politik, graduan Sarjana Sains Politik dan Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Azizi Azizan berkata, mengambil situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, keputusan untuk meletakkan calon di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya di kawasan bandar dan separa bandar seperti Johor Bahru, Tebrau dan Iskandar Puteri, dijangka memberi kesan besar terhadap pola pengundian.

Katanya, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, kewujudan parti yang menarik sokongan daripada penyokong PH berpotensi memecahkan undi blok pembangkang, sekali gus membuka ruang kepada BN untuk meraih kemenangan di kerusi-kerusi yang sebelum ini dianggap sukar.

“Bagi UMNO dan BN, perkembangan ini merupakan satu kelebihan taktikal yang tidak boleh dipandang ringan. Pengundi yang sebelum ini menyokong PH tetapi kini berasa kecewa mempunyai saluran alternatif untuk meluahkan protes mereka.

“Akibatnya, undi yang lazimnya terkumpul kepada calon PH akan berpecah, menjadikan banyak kerusi marginal lebih kompetitif.

“Dalam keadaan sedemikian, BN hanya perlu memastikan jentera parti terus bersatu, kempen dijalankan secara tersusun dan sokongan akar umbi diperkukuhkan bagi memanfaatkan sepenuhnya perubahan landskap politik tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyatakan kemungkinan kerjasama semula antara kedua-dua parti mencerminkan keperluan politik semasa yang lebih bersifat pragmatik berbanding sentimental.

Lebih signifikan, katanya, sokongan tidak rasmi daripada Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilaporkan menggesa ahli dan penyokong Pas supaya memberikan undi kepada calon BN di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi PN.

“Walaupun BN secara rasmi mengekalkan pendirian untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN Johor, sokongan di peringkat akar umbi seperti ini mampu memberikan kelebihan besar kepada BN, khususnya di kawasan luar bandar, FELDA dan kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Kerjasama ini juga memperlihatkan bahawa dalam politik semasa, keutamaan sesetengah pihak bukan lagi semata-mata soal gabungan politik, tetapi soal menentukan pihak yang dianggap paling berupaya mengekang pengaruh lawan.

“Dalam konteks Johor, sokongan tidak rasmi daripada penyokong Pas kepada BN berpotensi meningkatkan daya saing parti itu tanpa perlu mewujudkan pakatan rasmi yang mungkin mengundang pelbagai implikasi politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan pemimpin PH bahawa perkembangan ini akhirnya akan memberi manfaat kepada gabungan mereka boleh dianggap sebagai usaha mempertahankan keyakinan penyokong sendiri.

Hakikatnya, kata beliau, sebarang perpecahan sokongan dalam kalangan pengundi pembangkang, sama ada melibatkan PH mahupun Perikatan Nasional (PN), tetap memberikan kelebihan kepada BN dalam sistem pilihan raya yang bergantung kepada majoriti mudah.

“Lebih-lebih lagi apabila wujud persepsi bahawa berlaku perbezaan pendekatan antara parti-parti dalam PN sendiri, keadaan ini secara tidak langsung mengukuhkan imej BN sebagai pilihan yang lebih stabil dan tersusun.

“Kelebihan utama BN tetap terletak pada rekod pengalaman mentadbir serta keupayaannya menawarkan kestabilan politik yang menjadi harapan sebahagian besar rakyat Johor.

“Negeri ini mempunyai sejarah panjang bersama BN, dan ramai pengundi masih menilai pengalaman pentadbiran sebagai faktor penting dalam menentukan pilihan mereka,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement