MACHANG: Lima warga China cedera selepas kereta dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di tapak projek pembinaan kulvert di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini ketika dipercayai berpandukan aplikasi navigasi pada lewat malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 12.01 tengah malam, Khamis.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 11.50 malam ketika sebuah Toyota Prius dipandu seorang lelaki warga China berusia 66 tahun bersama empat penumpang yang juga warga China dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh.
“Kenderaan itu dipandu dengan berpandukan aplikasi peta navigasi sebelum dipercayai memasuki kawasan tapak projek pembinaan kulvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam.
“Akibatnya, kereta tersebut terjatuh ke dalam gaung di kawasan projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Azuhar berkata, kesemua lima mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan.
“Mereka dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Azuhar menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang yang dipasang di kawasan kerja pembinaan.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi, terutama ketika memandu pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat awal sehingga tindakan pantas dapat diambil untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 09-9751222 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Sinar Harian