Skip to main content

Politik

Meremajakan UMNO: Ketua Puteri hargai sokongan Puad Zarkashi, gesa beri ruang kepada golongan muda

Ketua Puteri Umno
Nurul Amal (tengah) menzahirkan penghargaan terhadap pandangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kepentingan meremajakan parti dengan memberi ruang kepada golongan muda. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menzahirkan penghargaan terhadap pandangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengenai kepentingan meremajakan parti dengan memberi ruang kepada golongan muda.

Beliau berkata komitmen tersebut amat dihargai, terutama dalam konteks landskap politik semasa yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah pengundi muda.

“Jika benar Dr Puad bersama parti dalam usaha meremajakan UMNO dan memberi peluang kepada orang muda, saya selaku wakil generasi muda dalam parti amat menghargainya.

"Ketika ini, jumlah pengundi muda di negara kita sangat tinggi dan mereka mahu melihat wakil daripada kalangan mereka diberi peluang untuk memimpin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Semalam, Mohd Puad mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa tindakan beliau keluar parti adalah berkait kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Mohd Puad menafikan tuduhan kononnya keputusan beliau meninggalkan UMNO hari ini disebabkan tidak berpuas hati kerana anaknya tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menegaskan keputusan itu dibuat beliau sebagai protes kepada sistem pemilihan calon yang diamalkan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Nurul Amal menjelaskan calon DUN Serom, Nadhirah Afiqah atau Iqa Rahim merupakan pemimpin muda yang berpengalaman dalam Pergerakan Puteri UMNO.

Beliau berkata Iqa kini memegang jawatan Exco Puteri UMNO Malaysia yang mengetuai Biro Pendidikan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang sejak 2018.

“Iqa bukan sekadar anak kepada Ketua Bahagian, tetapi seorang pemimpin muda yang telah melalui proses kepimpinan dalam Puteri UMNO.

"Malah, beliau menang bertanding dalam pemilihan parti, bukan dilantik, sebelum bapanya bergelar Ketua UMNO Bahagian Ledang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa Iqa wajar diberi peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom sebagai usaha memperkukuh proses peremajaan parti.

"Apa gunanya sayap dalam parti jika hanya dilatih tetapi tidak diberi peluang untuk memimpin. Ruang seharusnya dibuka demi peremajaan parti,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement