KOTA TINGGI: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak akan terjejas meskipun diterajui gabungan politik berbeza kerana peranan serta tanggungjawab kedua-duanya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bidang kuasa serta tanggungjawab kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus mengkehendaki kedua-duanya saling menghormati dan bekerjasama demi kepentingan rakyat.
"Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) juga telah menjelaskan bahawa dalam Perlembagaan memang ada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dan kedua-duanya perlu memastikan negeri serta negara terus membangun dan dimajukan.
"Kerjasama itu telah ditetapkan dalam Perlembagaan. Sesiapa yang menjadi kerajaan Persekutuan perlu dihormati dan diberi kerjasama, manakala kerajaan Persekutuan juga perlu menghormati serta bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri.
"Jadi, rakyat Johor tidak perlu bimbang. Jika memilih kerajaan negeri yang berbeza dengan kerajaan Persekutuan sekali pun, tidak akan timbul sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ziarah Kasih di Felda Pasak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi optimis Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini untuk membentuk kerajaan negeri.
"Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, keyakinan yang diberikan serta prestasi yang telah ditunjukkan, BN akan menubuhkan kerajaan," katanya.
BN bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor ke-16. Pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi.
PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi yang bakal ditentukan oleh 2,727,926 pemilih berdaftar pada Sabtu ini.
-- BERNAMA