Skip to main content

Politik

Hamzah umum tubuhkan Parti Wawasan Negara

https://www.sinarharian.com.my/article/783670/berita/politik/hamzah-umum-tubuhkan-parti-wawasan-negara
Hamzah Zainudin umum parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara.

TANAH MERAH: Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu mengumumkan bahawa gerakan itu akan bergerak di bawah sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.

Menurut beliau, parti itu diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan Pas dan parti-parti lain yang sehaluan bagi membentuk kesepahaman politik yang lebih komprehensif dan meyakinkan.

Hamzah berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan kekuatan politik yang lebih tersusun dan stabil dalam menghadapi cabaran semasa.

“Kami mahu bersama membentuk kesepahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif, kami akan membina satu kekuatan seperti ‘bangunan yang tersusun kukuh’ demi agenda masa depan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reset Malaysia di Kota Harmoni di sini pada Sabtu. 

Konvensyen berkenaan dihadiri hampir 20,000 penyokong dari seluruh negara.

Kehadiran luar biasa itu menyaksikan kawasan tapak ekspo berkenaan mula dipenuhi peserta seawal jam 9 pagi dengan mengenakan pakaian serba putih sebagai simbol perpaduan dan kesepakatan.

Ahli Parlimen Tanah Merah juga tuan rumah konvensyen, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, konvensyen sulung itu bakal menjadi catatan sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan penyokong daripada pelbagai latar belakang dalam satu program.

Menurut beliau, kehadiran besar tersebut membuktikan rakyat masih mahu melihat usaha penyatuan yang mampu membawa kestabilan dan masa depan lebih baik kepada negara.

“Konvensyen hari ini akan menjadi satu catatan sejarah. Kehadiran peserta dari seluruh negara menunjukkan rakyat menyambut baik usaha penyatuan yang sedang digerakkan.

“Kami hadir bukan untuk bermusuh dengan sesiapa dan bukan juga untuk menyerang mana-mana pihak. Sebaliknya, kami berkumpul di sini bagi mengorak langkah ke arah penyatuan umat serta memperkukuhkan kesatuan orang Melayu dan Islam,” katanya ketika berucap pada konvensyen berkenaan.

Beliau berkata, usaha penyatuan tersebut tidak bermaksud mengenepikan kaum lain, sebaliknya bertujuan memastikan Malaysia terus kekal harmoni melalui semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Kami mahu memastikan negara ini terus aman dan harmoni. Pada masa sama, hubungan antara kaum perlu terus diperkukuhkan berasaskan rasa hormat dan persefahaman,” katanya.

Ikmal turut menyifatkan kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dijadual merasmikan konvensyen berkenaan pada jam 4 petang itu sebagai satu penghormatan besar kepada semua penyokong.

Menurutnya, Abdul Hadi merupakan tokoh yang dihormati bukan sahaja sebagai seorang ulama, malah sebagai pemimpin politik yang berjaya membawa Pas mencapai pelbagai kejayaan sehingga menjadi antara parti paling berpengaruh di negara ini.

Program berkenaan turut menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan termasuk golongan profesional, belia, usahawan, aktivis masyarakat, komuniti Orang Asli serta peserta daripada pelbagai negeri.

Turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), antaranya Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Wan Saiful Wan Jan selain pimpinan Pas serta tokoh politik dari seluruh negara.

Hadir sama, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar juga Menteri Besar Terengganu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement