Skip to main content

Malaysia

Lori muatan asid hidroklorik terbalik di Cherating

KUANTAN - Bomba terpaksa membuat penghalang air bagi menyekat penyebaran wap asid hidroklorik yang tumpah ke laluan utama jalan raya selepas lori tangki membawa muatan asid itu terbalik di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Jambatan Kampung Cerating di sini pada Sabtu.
Penghalang air digunakan bagi menyekat penyebaran wap asid hidroklorik yang tumpah ke laluan utama jalan raya. - Foto JBPM Pahang

KUANTAN: Seorang lelaki cedera selepas lori muatan asid hidroklorik dipandunya terbalik di Cherating, di sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.32 pagi tadi. 

“Kemalangan tersebut mengakibatkan lori mengalami kebocoran di bahagian tangki dan cecair asid mengalir ke dalam paya bakau. 

“Pihak bomba telah mengambil tindakan membuat water curtain bagi menyekat penyebaran wap asid ke laluan utama jalan raya, dengan jumlah asid hidroklorik yang tertumpah dianggarkan kurang daripada 1,000 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan syarikat berkaitan telah dihubungi bagi menyelaras tindakan lanjut termasuk proses pemindahan bahan kimia ke lori gantian.

"Operasi masih diteruskan setakat 1.40 tengah hari tadi dengan pemantauan rapi oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) bagi memastikan keadaan kekal selamat sepanjang proses pemindahan muatan dilakukan,” katanya. 

Mohd Salahuddin berkata pemandu lori berusia 30-an itu telah dihantar ke Hospital Kemaman sebelum ketibaan pasukan bomba.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement