JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, demi memperkukuhkan lagi kedudukan gabungan itu dalam landskap politik negara.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN yang berlangsung di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, pada Sabtu, yang turut menzahirkan iltizam kepimpinan parti untuk memperkukuh kesatuan serta kestabilan politik.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam kenyataan tersebut berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan jentera di kedua-dua negeri bagi menghadapi PRN akan datang.
“Seluruh jentera parti akan digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan, selain memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta rakan strategik BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zambry berkata, BN juga memuktamadkan pendirian untuk bertanding menggunakan logo dacing dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, mesyuarat turut bersetuju memperkenalkan keahlian langsung BN (BN Direct Membership) sebagai usaha menarik penyertaan golongan profesional, anak muda dan masyarakat umum.
Langkah itu, katanya, dilihat mampu memperluas sokongan serta memperkukuh struktur organisasi BN dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Selaini itu Zambry berkata, BN komited untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, demi memastikan kestabilan politik negara serta meningkatkan keyakinan pelabur.
“Kesepakatan ini penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara parti komponen BN dan “Friends of BN” akan terus dipertingkatkan sebagai asas kekuatan gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.