SARIKEI: Masyarakat Dayak terus menjadi tunjang industri sawit Sarawak apabila mewakili hampir 80 peratus atau 43,916 daripada keseluruhan 54,984 pekebun kecil kelapa sawit di negeri ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata ketika ini pekebun kecil masyarakat Dayak mengusahakan sebahagian daripada keseluruhan 285,034 hektar kawasan tanaman sawit milik pekebun kecil di Sarawak.
Beliau berkata tanaman kelapa sawit bukan sekadar sumber ekonomi, malah menjadi talian hayat yang menjamin pendapatan, pendidikan anak-anak serta masa depan generasi akan datang.
"Kelapa sawit dan masyarakat Dayak di Sarawak boleh dianggap berpisah tiada kerana komuniti ini merupakan kelompok terbesar pekebun kecil di negeri ini," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Aram Besawit (Mari Bersawit) 2026 anjuran Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) di Dewan Suarah Sarikei hari ini.
Program itu disertai kira-kira 300 pekebun kecil dari Sarikei, Mador dan kawasan sekitarnya.
Huang berkata pekebun kecil perlu terus meningkatkan pengetahuan berkaitan amalan pertanian mampan bagi menghadapi cabaran pasaran global, termasuk pematuhan terhadap Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Beliau berkata pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kini menjadi keperluan penting bagi membolehkan produk sawit negara menembusi pasaran premium antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menggesa pekebun kecil memanfaatkan inisiatif Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) yang disediakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi mendapatkan pensijilan MSPO secara percuma.
Huang turut memuji usaha DOPPA yang telah menganjurkan Program Aram Besawit sebanyak 11 kali sejak 2017 dalam memperkasa komuniti pekebun kecil melalui perkongsian ilmu dan teknologi terkini industri itu.
Beliau turut menghargai komitmen Kerajaan Negeri Sarawak dalam memajukan sektor hiliran sawit termasuk pembangunan inisiatif sisa kepada tenaga (WtE) yang mampu meningkatkan nilai tambah industri serta menjana manfaat ekonomi kepada pekebun kecil.
-- BERNAMA