Skip to main content

Malaysia

Penempatan haram Rohingya di Hulu Langat dirobohkan

FB Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz
Gambar kini: Flat yang tular baru-baru ini. Gambar tengah dan kanan: Kerja-kerja perobohan dilaksanakan di belakang flat terbabit. - Gambar/ FB Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz

HULU LANGAT: Perobohan struktur bangunan perkampungan Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat mula dilaksanakan hari ini oleh pemilik tanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, perobohan bangunan itu bermula dengan struktur di belakang flat tersebut terlebih dahulu.

"Kerja perobohan struktur di kawasan tersebut sedang dilaksanakan oleh pemilik tanah sendiri dan kini berada dalam proses pelaksanaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sementara itu, seorang bekas penghuni yang ditemui memaklumkan kerja-kerja perobohan bermula kira-kira jam 9 pagi dan melibatkan beberapa struktur yang telah dikosongkan sebelum ini.

“Tadi lebih kurang jam 9 pagi sudah mula buat kerja-kerja roboh dengan menggunakan jengkaut,” katanya kepada pemberita.

Tinjauan Sinar Harian jam 4 petang mendapati kerja-kerja perobohan sedang giat dijalankan di bahagian belakang bangunan empat tingkat yang sebelum ini didiami warga asing.

Keadaan di lokasi juga didapati lengang apabila bangunan tersebut telah dikosongkan sepenuhnya tanpa kelibat penghuni.

Difahamkan, bangunan empat tingkat yang menjadi perhatian ramai sebelum ini turut dikosongkan sebagai persediaan sebelum proses perobohan dilaksanakan secara berperingkat.

Sebelum ini, penempatan berkenaan menjadi tumpuan selepas didakwa dihuni ramai warga asing dan dibina tanpa kelulusan di atas sebahagian tanah persendirian serta kawasan rizab kerajaan, sekali gus mencetuskan perhatian pelbagai pihak. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement