KUALA LUMPUR: AirBorneo mula memaparkan peningkatan operasinya selepas pesawat yang terjejas kembali berkhidmat ketika usaha memulihkan keadaan masih diteruskan susulan gangguan penerbangan di Sarawak dan Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata syarikat penerbangan itu sedang mencatat kemajuan dan kekal fokus terhadap usaha meningkatkan aspek kebolehpercayaan dengan seberapa segera.
"Peningkatan secara beransur-ansur itu dapat dilihat apabila pesawat kembali beroperasi dan sedang mencatat kemajuan stabil.
“Kami juga akan terus memantau prestasi secara teliti dan memastikan penumpang sentiasa mendapat makluman dan kemas kini apabila keadaan bertambah baik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Syarikat penerbangan Sarawak itu menjadi tumpuan susulan kelewatan dan pembatalan penerbangan bagi beberapa laluan di Malaysia Timur dan diikuti permohonan maaf syarikat selain kebimbangan pelanggan yang bergantung kepada perkhidmatan itu, terutama di kawasan pedalaman.
Mengulas persoalan mengenai kebertanggungjawaban, Megat Ardian Wira berkata AirBorneo memikul tanggungjawab penuh terhadap perkhidmatan disediakan walaupun turut melibatkan pelbagai pihak dalam ekosistem penerbangan.
“AirBorneo menggalas tanggungjawab penuh di atas perkhidmatan yang kami sediakan. Apabila berlaku kelewatan atau pembatalan penerbangan, penumpang mengharapkan jawapan kami.
“Sebagai pengendali tunggal bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar yang menghubungkan banyak komuniti di Sarawak dan Sabah, kami memahami kepentingan mengekalkan kesalinghubungan yang boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata walaupun operasi syarikat penerbangan melibatkan penyedia penyelenggaraan, pembekal alat ganti dan pengeluar pesawat, pada akhirnya penumpang tetap menganggap syarikat penerbangan sebagai penyedia utama perkhidmatan itu.
“Mereka tidak melihat perbezaan itu. Mereka hanya nampak AirBorneo dan atas alasan ini, kami kekal fokus untuk meleraikan isu menerusi kerjasama erat dengan rakan dan memulihkan aspek kesalinghubungan dipercayai dengan secepat mungkin,” katanya.
Menyentuh punca gangguan itu, Megat Ardian Wira berkata aspek ketersediaan pesawat merupakan cabaran utama dengan beberapa pesawat menjalani penyelenggaraan serta pembetulan teknikal secara serentak.
Keadaan itu turut didorong oleh gabungan faktor seperti keperluan pembaikan, ketersediaan alat ganti dan kekangan rantaian bekalan secara meluas yang melibatkan industri penerbangan global.
“Kami telah mempergiat usaha bersama rakan penyelenggaraan dan kejuruteraan untuk membolehkan pesawat kembali beroperasi dengan selamat dan pantas. Ini termasuk mempercepat kerja-kerja baik pulih, mendapatkan alat ganti utama serta meneliti ketersediaan pesawat secara harian.
“Keutamaan kami jelas -- memulihkan kapasiti, meningkatkan kebolehpercayaan dan meminimumkan gangguan untuk penumpang,” katanya.
Bagi menangani cabaran itu, AirBorneo sedang menyemak semula aspek pengaturan sokongan penyelenggaraan, strategi perolehan alat ganti serta tahap perkhidmatan dengan rakan strategik bagi memperkukuh daya tahan operasinya.
Syarikat itu juga sedang meneliti pilihan sokongan tambahan serta alternatif sumber bekalan bagi meningkatkan fleksibiliti dan mengurangkan risiko gangguan seumpama itu daripada berulang semula.
Semalam, AirBorneo memaklumkan sedang giat mempercepat kerja-kerja penyelenggaraan bersama rakan penyelenggaraan bagi membolehkan pesawat terjejas kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan AirBorneo dan tidak akan sesekali dikompromi.
Syarikat itu juga menegaskan bahawa aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dan mana-mana pesawat yang memerlukan pemeriksaan teknikal hanya akan kembali beroperasi selepas memenuhi semua keperluan operasi dan kejuruteraan.
Dalam pada itu, Megat Ardian Wira berkata perancangan syarikat memperkenalkan operasi jet kekal mengikut jadual dan diuruskan secara berasingan daripada operasi turboprop sedia ada.
Program jet itu mempunyai keperluan operasi, teknikal, kawal selia dan kesiapsiagaan tersendiri dan disokong oleh pasukan khusus berasingan daripada unit yang mengendalikan pesawat turboprop ketika ini.
Beliau berkata syarikat itu kekal komited dalam memastikan sebarang perkhidmatan baharu berjalan secara selamat, teratur dan berjaya selain terus meningkatkan kebolehpercayaan operasi sedia ada.
Pada masa ini, AirBorneo beroperasi ke 21 destinasi penerbangan dengan pangkalan operasi utama di Kota Kinabalu, Sabah dan Miri di Sarawak.
Kumpulan pesawat syarikat itu merangkumi masing-masing lapan pesawat jenis ATR 72-500 dan enam pesawat DHC-6-400 Twin Otter.
-- BERNAMA