KUALA LUMPUR: Malaysia terus menarik perhatian pengeluar automotif antarabangsa apabila jenama kenderaan dari China, Dongfeng, merancang melaksanakan pemasangan kenderaan secara tempatan atau Completely Knocked Down (CKD) di negara ini seawal tahun ini.
Perancangan itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi pasaran tempatan dan keupayaan ekosistem automotif negara yang dilihat semakin penting dalam strategi pertumbuhan Dongfeng di rantau Asia Pasifik.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Volt Auto Malaysia, Soh Ming berkata, Malaysia dipilih berikutan pertumbuhan pasaran yang memberangsangkan selain memiliki industri automotif yang matang.
"Pasaran Malaysia penting dalam pelan pengembangan Dongfeng di rantau Asia Pasifik.
“Selain pertumbuhan pasaran yang memberangsangkan, Malaysia juga mempunyai industri automotif yang matang.
“Justeru, adalah penting untuk Dongfeng melaksanakan pelan pemasangan tempatan CKD di Malaysia," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada Khamis lalu.
Pada pameran itu, Dongfeng Malaysia menampilkan tiga model elektrifikasi yang mencerminkan hala tuju syarikat dalam mobiliti masa depan. Antara model yang dipamerkan ialah Dongfeng Box, Dongfeng 007 dan Dongfeng Vigo yang kini ditawarkan di pasaran tempatan.
Selain memperluaskan kehadiran jenama di negara ini, Dongfeng turut memberi tumpuan kepada aspek selepas jualan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatannya.
Menurut Soh Ming, syarikat itu kini menyediakan pembiayaan penuh kepada pengedar yang ingin menaik taraf bilik pameran kepada pusat 3S atau 4S, selain menyokong penubuhan pusat servis bagi memperluaskan rangkaian perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
"Fokus utama Dongfeng adalah perkhidmatan selepas jualan.
“Kami menyediakan pembiayaan penuh kepada pengedar yang ingin menaik taraf bilik pameran kepada pusat 3S atau 4S serta menubuhkan pusat servis bagi memberikan sokongan yang lebih baik kepada pelanggan," ujarnya.
Tambah beliau, pelaburan dalam pembangunan rangkaian selepas jualan, pusat servis dan keupayaan pengedar merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat untuk memastikan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.
Selain model yang dipamerkan, Dongfeng turut merancang membawa masuk MPV premium VOYAH Dream serta dua model SUV elektrifikasi ke pasaran Malaysia.
Dalam masa sama, Dongfeng melihat Malaysia berpotensi memainkan peranan strategik sebagai hab pengeluaran dan eksport bagi pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD) di rantau ini pada masa hadapan.
Penyertaan syarikat itu di KLIMS 2026 bukan sahaja menampilkan teknologi dan model elektrifikasi terbaharu, malah memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju jangka panjang Dongfeng dalam membangunkan operasi serta rangkaian perniagaannya di Malaysia.