Skip to main content

Malaysia

KDN laksana program dokumen pendaftaran pelarian urus isu secara tersusun

81711106892_TBRohingya.jpg
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen (JIM) sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengurus isu golongan itu secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 (Semakan 2023). - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen (JIM) sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengurus isu golongan itu secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 (Semakan 2023).

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian. 

"Data ini penting bagi memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan membantu kerajaan merangka dasar yang lebih berasaskan fakta serta keadaan sebenar di lapangan.

"Usaha ini bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia. Status mereka kekal tertakluk kepada mekanisme sedia ada termasuk  proses penempatan semula ke negara ketiga yang diuruskan melalui saluran berkaitan," menurut kenyataan itu.

Selain aspek keselamatan, data yang tepat juga penting bagi membolehkan kerajaan merangka dasar yang lebih teratur dan terkawal berhubung pengurusan pelarian yang berada dalam negara.

Menurut KDN, sekiranya pelarian yang memenuhi syarat tertentu diberikan akses kepada peluang pekerjaan yang sah, pelaksanaannya akan tertakluk kepada dasar dan kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan. 

"Pendekatan ini bukan bertujuan menambah jumlah warga asing dalam pasaran pekerjaan negara, sebaliknya mengurangkan kebergantungan kepada kemasukan pekerja asing baharu serta memenuhi keperluan sektor tertentu yang berdepan kekurangan tenaga kerja," menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan sebarang akses pekerjaan yang diberikan akan memberi tumpuan kepada sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan tinggi terhadap pekerja  asing, khususnya sektor berintensifkan buruh seperti perladangan, pertanian dan pembinaan. 

Pada masa sama, mana-mana individu yang dibenarkan bekerja secara sah akan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan peraturan pekerjaan negara termasuk pematuhan kepada kadar gaji minimum dan perlindungan pekerja yang berkuat kuasa. 

"Langkah ini penting bagi mengelak eksploitasi tenaga kerja serta memastikan  persaingan yang adil dalam pasaran pekerjaan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, KDN menjelaskan sektor profesional dan pekerjaan berkemahiran tinggi kekal tertakluk kepada syarat, peraturan dan proses penilaian yang ketat oleh kementerian serta agensi kawal selia yang berkaitan.

Memahami kebimbangan rakyat ketika ini tertumpu kepada komuniti Rohingya yang merupakan antara kumpulan pelarian terbesar di Malaysia, KDN memaklumkan status pelarian tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang Malaysia. 

"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah, mengancam keselamatan awam atau melanggar undang-undang negara tetap tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan, pendakwaan dan proses perundangan yang berkuat kuasa.

"KDN ingin menegaskan keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi dan kerajaan akan terus menguruskan isu pelarian secara bertanggungjawab, berasaskan undang-undang, kepentingan negara dan realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement