SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyarankan Tentera Darat Malaysia (TDM) terus mempergiat program yang dapat mengeratkan hubungan antara pasukan keselamatan itu dengan masyarakat.
Beliau berkata program seperti Jelajah Wira MADANI wajar diperluas kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman rakyat mengenai peranan anggota tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara, malah memupuk semangat patriotik dan cinta akan tanah air.
"Keamanan dan kestabilan yang kita nikmati hari ini adalah hasil pengorbanan serta komitmen berterusan anggota keselamatan yang sentiasa bersedia mempertahankan negara.
"Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan, termasuk melibatkan veteran tentera lelaki dan wanita," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Gawai sempena Program Jelajah Wira MADANI 2026 di Dewan RASCOM, Kem RASCOM, 9 Briged di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi.
Program Jelajah Wira MADANI merupakan inisiatif kerajaan dan Kementerian Pertahanan bagi menyantuni serta menghargai jasa petugas barisan hadapan, khususnya warga TDM.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan peruntukan RM50,000 kepada 9 Briged TDM dan merakamkan penghargaan kepada anggota, keluarga 9 Briged serta veteran tentera atas jasa serta pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Sementara itu, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata sambutan Hari Gawai mempunyai makna besar kepada masyarakat Dayak di Sarawak kerana melambangkan kesyukuran atas hasil dan rezeki yang diperoleh, selain menjadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
Beliau berkata perpaduan merupakan aset paling berharga yang perlu dipelihara kerana menjadi asas kepada kestabilan, kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.
"Kepelbagaian budaya dan kaum di Sarawak perlu terus dijadikan kekuatan untuk membina masa depan yang lebih baik," katanya.
-- BERNAMA