KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa wujud layanan dua darjat dalam pengagihan peruntukan kawasan apabila Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima layanan setara dengan Ahli Parlimen kerajaan.
Kata beliau, perkara itu wajar disiasat oleh SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) kerana menjejaskan hak Ahli Parlimen pembangkang untuk menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat.
Shahidan berkata, ketiadaan peruntukan menyebabkan wakil rakyat pembangkang berdepan kesukaran untuk melaksanakan tugas di kawasan masing-masing.
"Di Parlimen ada dua kumpulan, iaitu Ahli Parlimen kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang. Saya berpandangan keadaan ini melanggar hak asasi apabila Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan peruntukan.
"SUHAKAM boleh menjalankan kajian mengenai perkara ini dan mengemukakan syor kepada kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat, di sini pada rabu.
Shahidan turut mendakwa keadaan itu memaksa Ahli Parlimen pembangkang mencari sumber kewangan lain bagi meneruskan aktiviti khidmat kepada masyarakat.
Pada masa sama, Shahidan membandingkan amalan pentadbiran terdahulu yang menurutnya memberikan peruntukan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.
"Kerajaan sekarang bercakap mengenai hak sama rata dan sama rasa tetapi apabila memerintah, hanya satu pihak yang merasa manakala pihak lain tidak merasainya.
“Inilah perkara yang saya anggap tidak adil dan SUHAKAM perlu melihat perkara ini," tegasnya.
Katanya, kerajaan ketika ini seharusnya berpegang kepada prinsip layanan sama rata terhadap semua wakil rakyat demi memastikan kebajikan rakyat di setiap kawasan tidak terjejas.