KUALA LUMPUR: DAP memutuskan untuk menangguhkan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 daripada 12 Julai kepada 16 Ogos depan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan yang memerlukan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun lalu.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti yang berlangsung pada malam tadi.
"DAP turut memutuskan untuk mempertahankan semua kerusi yang disandang parti itu di Johor dan Negeri Sembilan, selain berhasrat bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor.
"Bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada keputusan rundingan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan yang dijangka dimuktamadkan menjelang hujung minggu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DAP turut memaklumkan, proses pemilihan calon bagi mewakili parti dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan akan ditentukan oleh jawatankuasa yang dianggotai Loke, Gobind Singh Deo, Nga Kor Ming, Teo Nie Ching dan Chong Chieng Jen.
Pada masa sama, CEC DAP turut menyatakan sokongan terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bermula 22 Jun ini.
"DAP juga memberi komitmen untuk memastikan kesemua 40 Ahli Parlimennya menyokong pindaan berkenaan melalui undi belah bahagi serta menyeru semua Ahli Parlimen agar bersama-sama merealisasikan pindaan Perlembagaan yang disifatkan sebagai bersejarah.
"DAP akan terus komited mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan selain berkempen secara bersungguh-sungguh dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan di kedua-dua negeri berkenaan," ujarnya.