PARIS: Marjane Satrapi, artis, pengarah filem dan pengarang terkenal Iran-Perancis yang mencipta novel grafik autobiografi Persepolis, meninggal dunia pada usia 56 tahun.
Pengumuman kematiannya dibuat oleh pejabat Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Khamis.
Dalam kenyataan rasmi, Satrapi disifatkan sebagai tokoh penting dalam kebudayaan Perancis serta seorang artis yang memperjuangkan kebebasan, dengan karya yang membawa mesej universal dan meraih pengiktirafan antarabangsa.
Menurut kenyataan keluarga, beliau meninggal dunia akibat kesedihan kira-kira setahun selepas kematian suaminya, pelakon, penerbit dan penulis skrip Sweden, Mattias Ripa.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai punca kematian tidak didedahkan.
Dilahirkan pada tahun 1969, Satrapi membesar di Tehran dalam keluarga yang cenderung kepada fahaman kiri.
Ketika remaja, beliau dihantar ke Vienna sebelum kembali ke Iran untuk melanjutkan pengajian seni halus dan kemudiannya menetap di Perancis untuk meneruskan kerjayanya.
Pengalaman hidupnya yang merangkumi revolusi, pengasingan dan kepulangan ke tanah air menjadi asas kepada Persepolis, sebuah memoir bergaya hitam putih yang menggambarkan zaman kanak-kanaknya semasa dan selepas Revolusi Islam Iran 1979.
Karya tersebut mendapat sambutan global dan kemudiannya diadaptasi menjadi filem animasi, yang memenangi anugerah juri di Festival Filem Cannes serta dicalonkan untuk Anugerah Akademi.
Gaya penulisan Satrapi yang menggabungkan kritikan politik dengan humor gelap serta visual minimalis menjadikannya antara pengkarya novel grafik paling berpengaruh dalam generasinya.
Selain Persepolis, beliau turut mengarahkan beberapa filem termasuk Chicken With Plums, The Voices dan Radioactive, yang mengisahkan saintis Marie Sklodowska Curie.
Beliau juga pernah menghasilkan karya seni berbentuk triptych sepanjang sembilan meter menggunakan bahan bulu bagi Sukan Olimpik Paris 2024, yang memaparkan atlet bertanding berlatarbelakangkan Menara Eiffel.
Sepanjang kerjayanya, Satrapi dikenali sebagai suara lantang dalam isu pengasingan, kebebasan wanita dan pemerintahan autoritarian selain kerap menggunakan platform awam untuk mengkritik penindasan di Iran.
Pada 2025, beliau menolak anugerah Legion of Honour, iaitu pengiktirafan tertinggi Perancis sebagai tanda protes terhadap sikap yang disifatkannya sebagai hipokrit dalam hubungan negara itu dengan Iran.
Dalam kenyataannya ketika itu, beliau mengkritik situasi di mana anak-anak golongan elit Iran bebas berkunjung ke Perancis, sedangkan golongan pembangkang berdepan kesukaran mendapatkan visa untuk memasuki negara tersebut. - Agensi