Skip to main content

Dunia

Misteri 'kehilangan' bekas isteri anak saudara pemerintah Dubai terjawab

 Ex-wife of Dubai ruler's nephew, Zenab Javadli in custody, prosecutors say
Javadli didakwa menculik anak-anaknya bersama bekas suami, Sheikh Saeed bin Maktoum bin Rashid Al Maktoum ketika sesi lawatan yang diluluskan mahkamah. - Gambar Instagram

DUBAI: Misteri kehilangan bekas isteri kepada anak saudara pemerintah Dubai akhirnya terungkai apabila pihak berkuasa mengesahkan wanita itu kini dalam tahanan.

Zeynab Javadli sebelum ini dilaporkan hilang sejak Selasa selepas gagal dihubungi oleh rakan-rakan serta ahli keluarganya, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatannya.

Kehilangannya menjadi perhatian apabila kediamannya di Dubai didapati berkunci dan kosong, dengan ibunya yang baru tiba untuk melawat menemui rumah tersebut dalam keadaan ditinggalkan dan kunci telah ditukar.

Peguam hak asasi manusia dari Britain, David Haigh memaklumkan, beliau kali terakhir bercakap dengan Javadli pada malam Selasa sebelum wanita itu dilaporkan “hilang tanpa jejak.”

Sepanjang tempoh hampir dua hari selepas itu, Javadli bersama tiga anak perempuannya tidak dapat dikesan atau dihubungi, tanpa sebarang penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa.

Namun perkembangan terbaharu mengesahkan Javadli kini berada dalam tahanan selepas laporan dibuat oleh bekas suaminya, Sheikh Saeed bin Maktoum bin Rashid Al Maktoum.

Bekas suaminya itu mendakwa, Javadli menculik anak-anak mereka ketika sesi lawatan yang diluluskan mahkamah.

Kes berkenaan berpunca daripada pertikaian hak penjagaan anak yang berlarutan sejak sekian lama, dengan kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melakukan penculikan.

Difahamkan, hak penjagaan anak-anak mereka pernah bertukar beberapa kali antara kedua-dua ibu bapa, menjadikan konflik itu semakin rumit dan berpanjangan.

Sepanjang beberapa bulan sebelum dilaporkan hilang, Javadli dikatakan hampir tidak keluar rumah kerana bimbang pihak keselamatan akan mengambil anak-anaknya, selain kemungkinan dia sendiri ditahan.

Tahun lalu, Sheikh Saeed turut membuat laporan polis dengan menuduh Javadli menculik anak perempuan mereka, dalam episod terbaru pertikaian tersebut.

Javadli, yang merupakan bekas gimnas antarabangsa dari Azerbaijan, juga berdepan kemungkinan ditahan atas kesalahan berkaitan jenayah siber selepas menyiarkan secara langsung salah satu insiden pertikaian itu tahun lalu.

Dalam rakaman video ketika itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha terakhir untuk bersama anak-anaknya, selain merayu bantuan kerana percaya tidak akan dapat bertemu mereka lagi.

Dalam prosiding mahkamah, pihak peguam kepada Sheikh Saeed mendakwa, Javadli tidak layak sebagai ibu, termasuk gagal menghantar anak ke sekolah serta menyediakan persekitaran yang sesuai untuk mereka.

Bagaimanapun, Javadli menafikan dakwaan tersebut dan mengemukakan bukti melalui pasukan guamannya bagi mempertahankan dirinya di mahkamah.

Pihak pendakwa raya memaklumkan kes itu masih dalam siasatan dan tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan, sambil menegaskan sebarang tindakan akan mengambil kira kebajikan serta kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit.

Sementara itu, Haigh menggesa pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu supaya membenarkan anak guamnya mendapatkan akses kepada peguam, pihak konsulat serta keluarganya, selain dibebaskan kembali ke kediamannya di Dubai.

Kes ini terus mendapat perhatian antarabangsa, memandangkan ia melibatkan keluarga diraja Dubai serta menyentuh isu hak asasi dan perlindungan individu dalam konflik keluarga berprofil tinggi. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement